BKN lucut hak wang rampasan

BKN lucut hak wang rampasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah merekodkan kejayaan pertama di mana satu kes di bawah Perintah Mendapatkan Kembali Hasil Jenayah (CARO) 2012, yang melibatkan wang rampasan daripada kegiatan aktiviti penjualan dadah berjaya dilucut-hak (forfeited).

Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahadi, dalam satu kenyataan berkata, BKN telah berjaya melucut hak wang-wang tunai yang dirampas itu daripada seorang pesalah kes dadah, Awang Azren bin Zaini susulan keputusan bagi pelucutan hak wang rampasan tersebut dibuat oleh Ketua Hakim Negara pada 4 Jun lalu.

Awang Azren ditahan pada bulan Mei 2009, yang mana semasa pemeriksaan dijalankan ke atas suspek, BKN telah menjumpai beberapa paket straw yang mengandungi pecahan kristal dipercayai dadah jenis methylamphetamine (Syabu).

Turut dirampas adalah wang tunai sejumlah $11,110, S$1,110 dan RM3,055 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah terkawal.

Pada 15 Disember 2014, dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun bagi di bawah Seksyen 6(a) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal dan Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 atas kesalahan memakan dadah terkawal.

Setelah dijatuhkan hukuman, satu lagi perbicaraan telah diadakan ke atasnya bagi melucutkan hak wang rampasan yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah terkawal.

Semasa perbicaraan, dia telah mendakwa wang rampasan tersebut adalah hasil daripada perniagaan burung puyuh yang diusahakan secara persendirian akan tetapi pihak penyiasatan BKN telah berjaya membuktikan sumber duit rampasan tersebut bukanlah daripada hasil perniagaan malahan ianya datang daripada hasil aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan oleh suspek.

Keputusan bagi pelucutan hak wang rampasan tersebut dibuat oleh Ketua Hakim Negara pada 4 Jun 2016 selepas mendengar permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Abdul Raafe’ bin Haji Ibrahim.

BKN telah berjaya melucut hak wang-wang tunai yang dirampas berkenaan daripada suspek kerana ia adalah harta tercemar hasil aktiviti pengedaran dadah terkawal.

CARO telah digubal pada bulan Jun 2012 dan ia telah memberikan Biro ini satu dimensi baru dari segi penyiasatan ke atas jenayah dadah.

Perintah tersebut memberikan kuasa kepada pegawai-pegawai BKN untuk menyiasat, merampas, membekukan dan seterusnya menyita atau melucut hak harta-harta secara khusus aset-aset pengedar dadah hasil daripada aktiviti pengedaran dadah mereka.

Menurut Haji Mohd Jaffari, BKN akan terus mengukuhkan komitmen dalam pembanterasan aktiviti-aktiviti penyalahgunaan dadah termasuk pelaksanaan undang-undang CARO dengan pelucutan hak harta yang tercemar dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Ini merupakan salah satu lagi langkah proaktif yang diambil oleh BKN dalam memerangi dan mengengkang aktiviti yang tidak bermoral dan sangat membahayakan kepada bangsa dan negara.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas segala maklumat yang telah diberikan, beliau turut mengalu-alukan kerjasama yang berpanjangan daripada orang ramai dengan menyampaikan maklumat berhubung kait dengan kegiatan penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat) dan hotline 8777444 (selepas waktu pejabat).

ARTIKEL YANG SAMA