BKS pamer 200...

BKS pamer 200 pelbagai kereta, motosikal

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Setelah menempa kejayaan dengan jumlah pengunjung lebih 15,000 orang pada acara Borneo Kustom Show (BKS) pertama pada 2016, BKS ke-2 membuka tirainya selama dua hari bermula semalam sehingga hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX, Jerudong.

Acara bagi penggemar seni kustom kereta atau motosikal itu diharap menjadi satu tarikan pelancongan tahunan bukan sahaja pengunjung dari dalam negara tetapi juga pengunjung dan peserta dari negara-negara jiran.

Buat tahun keduanya, BKS dianjurkan oleh Independent Motorcycle Club (IMC Brunei) dengan kerjasama Cityneon Brunei, di mana pameran bagi 2017 membawa tema ‘Live, Ride & Keep It Custom’ menampilkan kira-kira 200 buah kereta dan motosikal pelbagai jenis yang diubahsuai, pertandingan dan jualan produk yang semestinya menambat hati pengunjung terutama penggemar budaya kustom kenderaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian BKS ke-2 ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Presiden IMC Brunei dan Pengasas BKS, Awang Asmalee Ariffin dalam kata alu-aluannya berucap acara berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mempromosikan Brunei dan juga Borneo sebagai sebuah pulau dengan banyak perkara untuk ditawarkan kepada dunia.

YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier (tengah), Dato Jack Ting (kanan) dan Awang Asmalee (kiri) memotong reben merasmikan BKS ke-2.
YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier (tengah), Dato Jack Ting (kanan) dan Awang Asmalee (kiri) memotong reben merasmikan BKS ke-2.
YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier bergambar ramai bersama pihak penganjur.
YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier bergambar ramai bersama pihak penganjur.
Kelihatan YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier menyaksikan sebuah kereta yang sudah pun diubahsuai.
Kelihatan YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier menyaksikan sebuah kereta yang sudah pun diubahsuai.
ATAS/BAWAH: YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier menyaksikan kereta dan pameran yang diketengahkan  dalam BKS ke-2.
ATAS/BAWAH: YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier menyaksikan kereta dan pameran yang diketengahkan
dalam BKS ke-2.

Beliau berkata lagi bahawa BKS pada 2017 merupakan kali kedua ia diadakan dan menyatakan harapan ia akan terus menjadi acara tahunan dan bagi BKS ke-2 ia telah menyaksikan peningkatan dari segi jumlah penyertaan bukan sahaja daripada peserta Borneo tetapi juga dari luar negara termasuk Jepun, Malaysia dan Indonesia.

Beliau turut menyatakan bahawa BKS diharap dapat menjadi platform bagi penggemar seni kustom tempatan dan memberikan pendedahan kepada pengusaha muda tempatan untuk mengetengahkan perusahaan, produk, bakat dan minat mereka kepada pengunjung dari dalam serta luar negara.

Sementara itu, YAM Pengiran Anak Haji ‘Abdul ‘Ali Yil-Kabier dalam ucapan ringkas menyatakan harapan BKS akan terus menjadi acara tahunan serta menjadi tarikan dalam kalender pelancongan negara supaya dapat menarik lebih banyak pengunjung luar negara untuk berkunjung bagi acara tahunan itu.

Pameran hebat itu dihasratkan untuk menjana hubungan yang lebih erat di antara penggemar seni kustom kereta dan motosikal Borneo dan serantau serta juga untuk menekankan nilai-nilai keselamatan dan pada masa yang sama memberikan tumpuan kepada pembangunan keusahawanan serta kemahiran dalam mengubahsuai kereta-kereta dan motosikal pameran.

Di antara kereta dan motosikal yang menarik dipamerkan semasa BKS ke-2.
Di antara kereta dan motosikal yang menarik dipamerkan semasa BKS ke-2.
Kereta diperbuat daripada kayu di antara yang menarik perhatian para pengunjung.
Kereta diperbuat daripada kayu di antara yang menarik perhatian para pengunjung.

Pameran mengetengahkan pelbagai kereta dan motosikal yang menarik termasuk sebuah kereta yang diperbuat daripada kayu oleh peserta dari daerah negara jiran, Limbang, Malaysia, Sulaiman bin Haji Mahrob.

Menurutnya inspirasi bagi menghasilkan kereta yang dilengkapi dengan enjin kereta Proton ialah kereta kuda dan ia mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan. Beliau juga percaya bahawa kereta itu merupakan satu-satunya kereta kayu di Borneo.

Acara itu bermatlamat untuk mempromosikan pengembaraan dan pelancongan di Brunei Darussalam, membantu pengusaha tempatan dan pengusaha luar untuk mengetengahkan produk mereka serta menggalakkan lagi pelancongan di negara-negara ASEAN, di samping mewujudkan perpaduan lebih kukuh dalam kalangan peminat-peminat kereta dan motosikal ubahsuai di Borneo dan rantau ini.

Dengan kejayaan BKS itu, Jawatankuasa Penganjur BKS berhasrat untuk menjadi BKS sebagai sebahagian daripada festival budaya kustom antarabangsa yang akan mempromosikan lagi kepelbagaian budaya di negara dan berharap bahawa pameran itu akan dimasukkan ke dalam kalender pelancongan Brunei sebagai acara antarabangsa tahunan.

ARTIKEL YANG SAMA