BKS tarik penggemar automotif

BKS tarik penggemar automotif

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Borneo Kustom Show yang julung-julung kalinya diadakan telah menarik ramai penggemar kereta sepanjang dua hari acara berlangsung, hingga hari ini, di Pusat Pameran Antarabangsa BRIDEX, Jerudong.

Dianjurkan oleh Independent Motorcycle Club (IMC) dengan kerjasama Cityneon Brunei, pameran bertema ‘We Born. We Ride. We Free’ itu menampilkan pameran kereta dan motosikal yang diubahsuai, pertandingan-pertandingan serta festival jalanan.

Pameran hebat ini adalah seperti pameran Kustom lain yang diadakan di seluruh dunia, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan dan kemahiran dalam mengubahsuai kereta-kereta dan motosikal pameran serta sebagainya.

Pelancaran pameran berkenaan, kelmarin, telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Haffiz bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir selaku tetamu kehormat majlis.

Presiden IMC Brunei, Awang Asmalee Ariffin yang juga selaku Pengerusi Penganjur BKS 2016 dalam ucapan alu-aluannya berkata, acara berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mempromosikan Brunei dan juga Borneo sebagai sebuah pulau dengan banyak perkara untuk ditawarkan kepada dunia.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Haffiz menerima cenderahati daripada Awang Asmalee Ariffin.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Haffiz menerima cenderahati daripada Awang Asmalee Ariffin.

Oleh sebab jumlah penggemar sukan permotoran di Borneo pantas meningkat beberapa tahun kebelakangan ini, tiba masanya untuk menunjukkannya ke seluruh dunia akan keunikan dan kekuatan komuniti peminat motosikal dan kereta kita, ujarnya.

Di rantau ASEAN, terdapat dua acara Kustom diadakan iaitu di Jogjakarta, Indonesia (Kustom Fest Jogjakarta) dan Kuala Lumpur, Malaysia (Art of Speed), yang mana kedua-dua acara berkenaan menarik seramai 30,000 hingga 40,000 orang dari seluruh rantau.

Salah sebuah kereta yang unik dan menarik pada pertunjukan tersebut.
Salah sebuah kereta yang unik dan menarik pada pertunjukan tersebut.
Antara kereta yang mendapat perhatian daripada orang ramai.
Antara kereta yang mendapat perhatian daripada orang ramai.

Berikutan dengan kejayaan acara-acara lepas, IMC berhasrat meneruskan perjalanannya bersama Borneo Kustom Show kali pertama.

Acara berkenaan antara lain bertujuan untuk mempromosikan pengembaraan dan pelancongan di Brunei Darussalam serta menggalakkan lagi pelancongan di negara-negara ASEAN, di samping mewujudkan perpaduan lebih kukuh dalam kalangan peminat-peminat kereta dan motosikal ubahsuai di Borneo dan rantau ini.

Dengan kejayaan Borneo Kustom Show pertama ini, IMC berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada festival budaya kustom antarabangsa yang akan mempromosikan lagi kepelbagaian budaya di negara ini, dan berharap bahawa pameran itu akan dimasukkan ke dalam kalender pelancongan Brunei sebagai acara antarabangsa tahunan.

ARTIKEL YANG SAMA