BLA bantu golongan autisme

BLA bantu golongan autisme

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – SMARTER Brunei terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan kegiatan amal bagi mengutip dana untuk persatuan berkenaan. Antara kegiatan amal yang dirancang untuk diadakan termasuk jualan amal, larian amal dan kegiatan berbasikal amal.

Selain daripada mengutip dana bagi persatuan berkenaan, kegiatan amal itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme di semua peringkat termasuk peringkat keluarga mengenai kanak-kanak yang mempunyai autisme.

Sehubungan itu, sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia ke-9, SMARTER Brunei dengan kerjasama NBT (B) Sdn Bhd akan mengadakan acara dua- dalam-satu iaitu Pelancaran Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia ke-9 dan Jualan Amal Ke-4 yang akan diadakan pada 2 dan 3 April ini.

Acara itu turut mendapat perhatian dan sokongan daripada Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) yang menyumbangkan barangan yang dikumpulkan hasil daripada program amal ‘Dari Hati ke Hati’, yang diadakan bersempena dengan Ulang Tahun ke-30 persatuan itu.

Majlis penyerahan barangan sumbangan oleh BLA kepada SMARTER Brunei telah diadakan di Pusat SMARTER Autisme, EDGE Centre, Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong, hari ini.

Dayang Nellie bersama-sama ahli-ahli BLA menyerahkan pelbagai barangan yang dikutip daripada kegiatan amal kepada Malai Haji Abdullah bagi acara sambutan dan jualan amal yang akan diadakan pada 2 dan 3 April ini.
Dayang Nellie bersama-sama ahli-ahli BLA menyerahkan pelbagai barangan yang dikutip daripada kegiatan amal kepada Malai Haji Abdullah bagi acara sambutan dan jualan amal yang akan diadakan pada 2 dan 3 April ini.

Sumbangan diserahkan oleh Yang Di-Pertua BLA, Dayang Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny kepada Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman.

Barangan yang disumbangkan itu merupakan sumbangan orang ramai menerusi program ‘Dari Hati Ke Hati’ BLA di mana orang ramai dialu-alukan untuk menghantar barangan terpakai atau baru seperti pakaian, buku, barangan rumah, mainan dan peralatan sekolah yang boleh digunakan dalam kegiatan jualan amal SMARTER Brunei nanti.

Naib Bendahari Agung BLA, Awang Ali Shahbana bin Haji Mohsin berkata, program amal itu merupakan program berterusan BLA untuk membantu golongan atau persatuan yang memerlukan.

Bagi kegiatan pertama di bawah program amal itu, BLA mengadakan kegiatan kutipan barangan amal untuk disumbangkan kepada SMARTER Brunei dan persatuan itu telah merancang untuk mengadakan kegiatan amal pada Mei nanti iaitu jualan amal di mana hasil kutipan daripada jualan itu akan disumbangkan kepada persatuan atau badan-badan yang memer2lukan.

Perasmian Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia ke-9 akan diadakan esok di The Atrium, Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas manakala Jualan Amal SMARTER Brunei ke-4 akan diadakan di kawasan letak kereta, Kelab Tenis Brunei selama dua hari, bermula esok.

Perasmian bagi kedua-dua acara itu, dijadualkan akan disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Haji Malai Abdullah menyatakan, pelancaran acara itu dijangka akan disertai oleh kira-kira 300 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli SMARTER Brunei dan keluarga mereka, jemputan dari kementerian-kementerian, ahli-ahli masyarakat, wakil persatuan bukan kerajaan dan orang ramai.

Beliau juga menyatakan bahawa majlis sambutan yang membawa tema SMARTER’s M.O.V.E for Autism itu bukan sahaja diharap untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai mereka yang mempunyai autisme tetapi juga supaya masyarakat akan mengetahui dengan lebih mendalam mengenai latihan dan pendidikan yang dilalui oleh para pelajar di Pusat SMARTER serta pelbagai kegiatan yang dilaksanakan oleh persatuan itu.

Dalam hubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama berkunjung ke acara sambutan dan jualan amal itu di mana mereka boleh membeli sambil beramal.

Semasa jualan itu, para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai bagai jenis barangan pada harga yang menarik serta juga boleh menempah pelbagai barangan istimewa dan hasil kraf tangan pelajar-pelajar pusat SMARTER Brunei.

Jualan amal itu dibukakan untuk kunjungan orang ramai esok bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan 3 April bermula pukul 7 pagi hingga 6 petang.

ARTIKEL YANG SAMA