BLA promosi persatuan, aktiviti menjelang ulang tahun penubuhan

BLA promosi persatuan, aktiviti menjelang ulang tahun penubuhan

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 18 Jan – Dalam usaha untuk melibatkan penyertaan aktif pustakawan di negara ini, Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) telah mengadakan jerayawara di keempat-empat daerah termasuk Daerah Temburong, yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Daerah Temburong di sini, hari ini.

Jerayawara kali ini turut diisikan dengan pembentangan taklimat mengenai peranan dan fungsi persatuan termasuk aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan bagi mempromosikan persatuan kepada pustakawan dan orang ramai yang ingin mendaftar sebagai ahli.

Taklimat telah disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif BLA, Dayang Roziah binti Haji Aji dan Awang Ali Shabana.

Menurut Dayang Roziah, jerayawara ini merupakan program bergerak secara berkumpulan ke daerah-daerah untuk mengeratkan silaturahim antara pihak perpustakaan dari semua daerah termasuk sekolah-sekolah kerajaan dan swasta, jabatan-jabatan dan para pesara.

Dayang Roziah dan Awang Ali Shabana ketika menyampaikan taklimat jerayawara BLA.
Dayang Roziah dan Awang Ali Shabana ketika menyampaikan taklimat jerayawara BLA.
Dayang Roziah bergambar ramai bersama kakitangan dan ahli pustakawan semasa jerayawara tersebut.
Dayang Roziah bergambar ramai bersama kakitangan dan ahli pustakawan semasa jerayawara tersebut.

Jerayawara turut mempromosikan beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan bersempena dengan 30 tahun penubuhannya pada 11 Mac ini, yang termasuk lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Bangkok, Thailand, Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Terpuji, Harapan Muda Anugerah Pustakawan, pelancaran enam penerbitan BLA dan Persidangan BLA pada April nanti.

Sejak penubuhannya, BLA mempunyai lebih 80 orang ahli yang aktif dan lebih 200 ratus ahli yang berdaftar di negara ini.