BLA usaha tarik ahli-ahli baru

BLA usaha tarik ahli-ahli baru

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 11 Jan – Kira-kira 15 orang yang terdiri daripada para pustakawan dari sekolah-sekolah di Daerah Belait mengikuti taklimat yang dianjurkan oleh Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.

Taklimat ini adalah sebahagian daripada tiga jerayawara BLA yang diadakan di Berakas, Daerah Brunei-Muara, Bangar, Daerah Temburong dan di sini bagi menjemput serta menarik ahli-ahli baru sempena menyambut ulang tahun penubuhan ke-30 BLA.

Dalam acara berkenaan, taklimat telah disampaikan oleh ahli-ahli Exco BLA, Dayang Saidah binti Haji Mohamad dan Dayang Roziah binti Haji Ali.

Menurut Dayang Saidah, taklimat tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai matlamat dan tujuan BLA, menarik ahli-ahli baru supaya menjadi aktif mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti perpustakaan, berganding bahu dalam membina persatuan perpustakaan yang kuat, mengukuhkan rasa komitmen dan ‘kekitaan’ dalam kalangan komuniti perpustakaan dalam pembangunan membaca dan perpustakaan, sambil menyesuaikan diri dengan trend perpustakaan baru dengan meningkatkan kepustakawanan sebagai profesi dalam menyediakan perkhidmatan perpustakaan serta maklumat yang sangat baik di negara ini.

Gambar ramai pustakawan dan ahli-ahli exco BLA.
Gambar ramai pustakawan dan ahli-ahli exco BLA.
Dayang Saidah semasa menyampaikan taklimat kepada ahli-ahli BLA.
Dayang Saidah semasa menyampaikan taklimat kepada ahli-ahli BLA.

“Dengan menyatukan pustakawan, pengurus maklumat, pendidik yang profesional dan individu yang berminat, BLA dapat menggalakkan penggunaan perpustakaan dalam kalangan anak muda, memupuk pendidikan serta meningkatkan lagi pembangunan perpustakaan di negara ini,” katanya lagi.

Beliau menambah, matlamat BLA juga adalah untuk memberi sokongan dalam membangunkan masalah literasi pendidikan di semua institusi dengan menyediakan perpustakaan yang sistematik dan berkesan.

Dalam menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun BLA ini, persatuan tersebut akan mengadakan lawatan kerja ke perpustakaan-perpustakaan di Bangkok, Thailand atas jemputan Persatuan Perpustakaan Thailand pada 16 hingga 20 Februari ini.

Di samping itu majlis kesyukuran juga akan diadakan pada 10 Mac nanti dengan acara penyampaian anugerah kepada ahli-ahli BLA dan juga pelancaran buku-buku terbitan BLA di Persidangan BLA yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 April nanti.

Bagi mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ahli BLA boleh menghantar e-mel ke alamat pobox.bla@gmail.com bagi sebarang maklumat lanjut atau layari web BLA di https://bruneilibraryassociation.wordpress.com/

ARTIKEL YANG SAMA