Black Cats terselamat

Black Cats terselamat

LONDON, 21 Mei – Sunderland memastikan mereka kekal dalam Liga Perdana selepas seri 0-0 menentang Arsenal pada Rabu.

Pasukan Dick Advocaat yang sedia maklum satu mata di Stadium Emirates sudah cukup untuk menjamin kelangsungan di liga elit Inggeris dan mereka mencapai matlamat tersebut dengan pertahanan kental walaupun tuan rumah mengasak dengan garang.

Dengan persembahan hebat pimpinan Lee Cattermole dan pertahanan tengah Sebastian Coates dan John O’Shea, Sunderland masih memerlukan prestasi yang baik daripada penjaga gol Costel Pantilimon.

The Black Cats, kini empat mata di depan Hull, boleh memulakan perancangan untuk musim depan dan bukannya cemas menghadapi perjalanan getir ke Stamford Bridge untuk pusingan akhir Ahad ini.

“Arsenal adalah pasukan yang lebih baik tetapi organisasi kami bagus di luar jangkaan. Emosi itu begitu tinggi,” kata Advocaat, yang meninggalkan padang menangis kegembiraan selepas perlawanan.

Pengurus Sunderland, Dick Advocaat (kanan) meraikan kejayaan The Black Cats menghindari penyingkiran selepas seri 0-0 dengan Arsenal di Stadium Emirates semalam. – AFP
Pengurus Sunderland, Dick Advocaat (kanan) meraikan kejayaan The Black Cats menghindari penyingkiran selepas seri 0-0 dengan Arsenal di Stadium Emirates semalam. – AFP

“Ia satu perasaan luar biasa yang kami lakukan dengan diri sendiri. Para pemain telah memberikan segala-galanya.”

Walaupun gagal memenangi buat kali keempat dalam lima perlawanan terakhir mereka, usaha Arsenal cukup untuk menjamin tempat ketiga dan kelayakan automatik Liga Juara-Juara peringkat kumpulan musim depan.

Pasukan Arsene Wenger tiga mata di depan pasukan tangga keempat Manchester United dengan perbezaan gol jauh lebih baik dengan baki satu perlawanan lagi.

Satu mata bagi Sunderland bermakna tempat penyingkiran terakhir dari Liga Perdana Inggeris akan diisi sama ada oleh Hull atau Newcastle. – AFP