Blackberry umum lagi pengurangan pekerjaan

Blackberry umum lagi pengurangan pekerjaan

MONTREAL, 24 Mei (AFP) – BlackBerry sedang memecat sejumlah pekerja di seluruh dunia tatkala pengeluar telefon bimbit itu cuba menjadikan perniagaan perantinya menguntungkan.

Syarikat Kanada, yang berpangkalan di Waterloo, Ontario, berkata pembuangan akan memberi kesan kepada mereka yang mengusahakan perniagaan perisian, perkakasan dan aplikasi.

“Tatkala syarikat beralih kepada peringkat seterusnya, hasrat kami adalah untuk memperuntukkan semula sumber dalam cara yang membolehkan kami mengambil kesempatan ke atas peluang pertumbuhan sementara menjana ke arah keuntungan mampan di seluruh bidang perniagaan kami,” kata BlackBerry dalam satu kenyataan kepada AFP semalam.

Seorang jurucakap enggan memberikan maklumat tambahan mengenai pembuangan pekerja tersebut. Syarikat buat masa sekarang menggaji kira-kira 7,000 orang di seluruh dunia.

BlackBerry, yang pada satu dekad lalu merupakan syarikat gergasi dalam perniagaan telefon bimbit, telah dipaksa menjalankan penyusunan semula besar-besaran yang lebih menumpu pada perisian dan perkhidmatan sejak dipintas dalam pasaran untuk alat peranti.

Satu tinjauan IDC menunjukkan BlackBerry berjaya menawan 0.4 peratus daripada jualan telefon pintar global pada 2014. “Salah satu keutamaan kami adalah menjadikan perniagaan peranti kami sesuatu yang menguntungkan,” kata BlackBerry.

“Pada masa yang sama, kami mesti mengembang perisian dan pendapatan perlesenan. Anda akan melihat pada bulan-bulan akan datang, pertambahan besar dalam aktiviti jualan dan pemasaran.”

ARTIKEL YANG SAMA