‘Blade Runner’ dibebaskan dengan parol

‘Blade Runner’ dibebaskan dengan parol

PRETORIA, 20 Okt – Oscar Pistorius, lebih dikenali sebagai “Blade Runner” Afrika Selatan, dibebaskan dengan parol semalam, hanya kurang setahun daripada hukuman lima tahunnya kerana sabit membunuh teman wanitanya Reeva Steenkamp.

Tetapi pemenang pingat emas Paralimpik itu perlu menjalani keseluruhan hukuman ke atasnya dengan tahanan dalam rumah, dan masih perlu berdepan dengan rayuan daripada para pendakwa raya yang mempersoalkan bahawa beliau sepatutnya dikenakan hukuman kerana membunuh dan bukannya homisid salah.

Pistorius, 28, yang didapati bersalah kerana dakwaan lebih ringan apabila beliau melepaskan empat das tembakan melalui pintu tandas yang berkunci dan mengenai Steenkamp, akan dikenakan tahanan dalam rumah di kediaman bapa saudaranya di ibu negara Pretoria.

Pistorius dibebaskan petang semalam, yang menyebabkan kejutan di kalangan media. Sekumpulan wartawan dan jurugambar berkumpul di rumah tersebut dengan harapan untuk merakam gambar atlet itu atau mendapatkan ulasan keluarganya.

Beliau sepatutnya keluar dari penjara hari ini.

Pistorius dibebaskan awal selepas diberikan pertimbangan dari segenap faktor, badan penyiaran negara SABC memetik jabatan perkhidmatan pemulihan sebagai berkata.

Atlet itu yang kakinya di amputasi ketika masih anak damit, dibebaskan selaras dengan garis panduan hukuman Afrika Selatan yang menyatakan banduan tidak berbahaya perlu hanya menghabiskan satu perenam daripada hukuman yang dikenakan ke atas mereka. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA