Blanc bebas tekanan

Blanc bebas tekanan

PARIS, 12 Feb – Paris St-Germain (PSG) berkata jurulatih kelab itu, Laurent Blanc sudah memanjangkan kontraknya sehingga 2018, sekali gus membantunya bebas daripada sebarang tekanan menghadapi kempen Liga Juara-juara yang sukar.

Kontrak Blanc akan tamat pada hujung musim ini dan kelab kaya itu menawarkan kontrak baru buat pengurus berumur 50 tahun itu tanpa menunggu bagaimana prestasi gergasi Ligue 1 berkenaan dalam Liga Juara-juara.

PSG akan bertemu Chelsea dalam perlawanan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara, dengan perlawanan timbal balik pertama minggu depan.

“Secara mudah, kami perlu melihat masa depan, itu apa yang saya lihat, ”kata Blanc selepas menandatangani perjanjian baharu itu, yang disifatkannya sebagai “keyakinan penuh” pengurusan kelab kepadanya.

“Saya sangat gembira, juga pegawai saya. Seorang jurulatih tidak ada apa-apa tanpa pegawainya. Kami perlu meneruskan perjalanan ini dengan keyakinan tinggi dan tanggungjawab yang besar.”

“Cita-cita kelab di kedua-dua peringkat, kebangsaan dan Eropah, dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk memperoleh objektif itu.

“Kami sudah bersedia untuk mencapainya. Kami sedar sebagai kelab yang besar, jangkaan yang diletakkan juga sangat tinggi,” katanya yang menandatangani kontrak baharu sehingga 30 Jun 2018. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA