Blatter akan hadiri Piala Dunia 2018

Blatter akan hadiri Piala Dunia 2018

BERLIN, 24 Mac (AFP) – Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter (gambar) berhasrat menghadiri Piala Dunia 2018 selaku tetamu kepada Presiden Russia, Vladimir Putin meskipun sedang dalam tempoh penggantungan enam tahun.

Mengikut laporan Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ), Blatter pada minggu ini menerima jemputan rasmi Putin untuk menjadi tetamu kehormat pada final 2018. “Sekiranya dijemput, saya akan menerima jemputan itu,” kata Blatter kepada akhbar harian Jerman itu.

Bekas presiden berusia 80 tahun itu dikenakan hukuman gantung selepas melakukan pembayaran AS$2 juta kepada Presiden UEFA, Michel Platini seterusnya membawa makna beliau hanya boleh menghadiri perlawanan bola sepak sebagai orang awam.

pg23_160325_c

Blatter dan Platini dikenakan hukuman penggantungan lapan tahun oleh mahkamah etika FIFA pada Disember, namun dikurangkan kepada enam tahun oleh panel rayuan.

Namun Blatter berharap hukuman penggantungan daripada segala aktiviti bola sepak dapat dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dijadual berlangsung bulan depan.

Dan sebelum pendengaran berlangsung, Blatter menjangkakan yang dirinya akan berada di Russia 2018 yang dijadual bermula pada 14 Jun 2018. “Saya bukan nabi dan saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada tahun 2018 nanti,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA