Blatter dapatkan peguam

Blatter dapatkan peguam

NEW YORK, 18 Jun (AFP) – Presiden FIFA, Sepp Blatter mendapatkan peguam terbaik AS bagi mewakilinya ketika siasatan rasuah menggegarkan badan induk bola sepak itu, kata seorang yang biasa dengan perkara itu.

Blatter baru–baru ini mendapatkan pengerusi firma guaman McGuire Woods dan bekas pendakwa raya persekutuan AS Richard Cullen, kata individu itu yang bercakap kepada Reuters dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

Blatter, 79, pada 2 Jun lalu mengumumkan bahawa dia akan meletak jawatan sebagai presiden FIFA, hanya empat hari selepas dilantik semula ke jawatan itu, sambil berkata dia kehilangan mandat daripada seluruh dunia bola sepak.

Pengumuman itu menyusul pendakwaan pihak berkuasa AS terhadap sembilan bekas atau pegawai semasa FIFA dan lima eksekutif korporat kerana didakwa menjalankan perusahaan jenayah melibatkan lebih AS$150 juta dalam rasuah sejak 24 tahun lalu.Pendakwa AS tidak mendakwa Blatter bagi salah laku.

Peminat pasukan Brazil memakai topeng Sepp Blatter dan Homer Simpson semasa menyaksikan aksi Copa Brazil dan Colombia di Estadio Monumental David Arellano, Santiago semalam. – Reuters
Peminat pasukan Brazil memakai topeng Sepp Blatter dan Homer Simpson semasa menyaksikan aksi Copa Brazil dan Colombia di Estadio Monumental David Arellano, Santiago semalam. – Reuters

Di antara isu yang dikaji FBI adalah kepimpinan Blatter terhadap FIFA, kata sumber. Blatter menjadi presiden pada 1998 dan masih berada dalam tugas itu bergantung kepada pilihan raya yang dilihat tidak akan berlaku sebelum Disember.

Siasatan pihak berkuasa AS dan Switzerland melibatkan pengawasan bagaimana FIFA memberikan hak penganjuran Piala Dunia kepada Rusia dan Qatar.

Blatter juga mendapatkan peguam terbaik di Zurich Lorenz Erni, kata sumber. Bagaimanapun, Erni enggan mengulas laporan itu awal minggu ini.

Tidak jelas sama ada keputusan Blatter untuk mendapatkan peguam terbaik AS itu menunjukkan peningkatan pengawasan oleh pihak berkuasa AS terhadapnya. Adalah satu perkara biasa di AS walaupun hanya saksi untuk mendapatkan nasihat perundangan jika mampu untuk melindungi hak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA