Blatter degil

Blatter degil

PARIS, 12 Jun (AFP) – Presiden FIFA Sepp Blatter semalam menolak permintaan Parlimen Eropah menuntutnya meletak jawatan serta-merta, tetapi salah seorang pegawai tertingginya meletak jawatan daripada pertubuhan itu.

Blatter meletak jawatan minggu lalu meskipun dipilih semula sebagai ketua badan bola sepak dunia, yang telah diselubungi siasatan rasuah, namun berhasrat untuk meneruskan jawatannya sehingga seorang pengganti dilantik, mungkin akhir tahun ini.

“FIFA bingung dengan resolusi Parlimen Eropah. Seperti yang diketahui, selepas pemilihannya, presiden FIFA telahpun memutuskan, disebabkan keadaan khas yang dihadapi oleh FIFA, untuk menetap mandatnya pada kongres pemilihan luar biasa,” kata jurucakap FIFA.

Parlimen Eropah telah meminta Blatter supaya meletak jawatan serta merta dan membenarkan seorang pemimpin sementara untuk melancarkan pembaharuan dalam persatuan itu. Dalam pengundian secara mengangkat tangan, penggubal undang-undang sebulat suara mengundi resolusi di Strasbourg, Perancis.

Jurucakap FIFA menambah: “Presiden bertekad untuk memastikan pada kongres ini, yang dituntutnya, pembaharuan penting diluluskan dan seorang presiden baru dipilih.”

Blatter menolak permintaan Eropah untuk meletak jawatan serta-merta. – Reuters
Blatter menolak permintaan Eropah untuk meletak jawatan serta-merta. – Reuters

Tarikh untuk kongres tersebut akan ditetapkan pada satu mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Zurich pada 20 Julai. Sementara itu, pengarah FIFA perhubungan dan hal ehwal awam Walter De Gregario meletak jawatan mulai hari ini.

Penolongnya telahpun dinamakan sebagai pengganti sementara. De Gregario, yang dikatakan oleh FIFA akan terus berkhidmat ‘berdasarkan kepakaran’ sehingga akhir tahun, telahpun memegang jawatan itu sejak 2011 dan hadir apabila Blatter mengumumkan peletakan jawatannya pada 2 Jun.

“Walter telah bekerja keras sejak empat tahun lalu dan kami amat terhutang budi atas segala yang telah dilakukannya. Saya gembira kami boleh terus mendapatkan kepakarannya sehingga akhir tahun,” kata Setiausaha Agung FIFA Jerome Valcke dalam satu kenyataan.