Blatter dipilih semula

Blatter dipilih semula

ZURICH, 31 Mei (AFP) – Sepp Blatter dipilih semula sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk penggal kelima semalam, walaupun badan itu disiasat oleh penyiasat Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland berkaitan rasuah.

Ahli FIFA yang seramai 209 orang memberikan Blatter, 79, satu lagi penggal untuk memimpin selama empat tahun selepas Putera Ali al-Hussein dari Jordan mengaku tewas selepas kalah 133-73 dalam pengundian pusingan pertama.

Janji Putera Ali untuk membersihkan FIFA daripada sejarah hitamnya ditolak meskipun badan itu dilanda skandal paling teruk dalam sejarah 111 tahun penubuhannya.

“Saya sukakan anda, saya sukakan tugas saya. Saya bukannya sempurna, tiada sesiapa yang sempurna, tetapi saya yakin kita akan menjalankan tugas dengan baik bersama-sama,” kata Blatter kepada perwakilan.

Pemilihan itu tetap dilangsungkan semalam walaupun pihak penyiasat AS dan Switzerland menyerbu tunjang ‘keluarga bola sepak’ Blatter minggu lalu. Dua naib presiden FIFA dan seorang ahli jawatankuasa eksekutif FIFA yang baru dipilih masih dalam tahanan ketika undi dikira.

Blatter semasa sidang media setelah terpilih semula menerajui FIFA. – AFP
Blatter semasa sidang media setelah terpilih semula menerajui FIFA. – AFP

Begitu pun, pemimpin-pemimpin bola sepak di seluruh dunia kekal menyokong presiden mereka selama 17 tahun itu, walaupun Putera Ali berjaya mengheret pemilihan ke pusingan kedua selepas mencipta kejutan apabila mendapat 73 undi.

Sebelum pusingan kedua bermula, Putera Ali berdiri di hadapan ahli kongres dan mengaku kalah.

“Saya berterima kasih kepada anda semua kerana berani menyokong saya. Ini adalah perjalanan yang hebat, dari segi mengenali anda, bekerja bersama anda,” katanya.

Blatter telah menyalahkan yang lain kerana membawa malu kepada bola sepak. Dalam ucapannya sebelum pemilihan semalam, Blatter berkata adalah mustahil untuk dia dan FIFA memantau setiap orang dan bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku dalam bola sepak dunia.

Blatter menang walaupun terdapat desakan supaya dia berundur daripada Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini dan beberapa lagi. Platini pada Khamis lalu berkata bahawa UEFA mungkin keluar daripada FIFA dan menarik diri daripada Piala Dunia jika Blatter dipilih semula.

ARTIKEL YANG SAMA