Blatter kini disiasat

Blatter kini disiasat

NEW YORK, 4 Jun (AFP) – Beberapa jam selepas meletak jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter disiasat oleh penyiasat Amerika Syarikat berhubung skandal rasuah yang menyelubungi badan bola sepak dunia itu.

Malah, beberapa jam selepas Blatter, 79, membuat keputusan mengejut itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Venezuela, Nicolas Maduro pantas mencadangkan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona sebagai calon Presiden yang baharu.

Dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Venezuela, Maduro berkata, cadangannya mungkin akan ditertawakan banyak pihak, namun dia percaya, Maradona adalah calon yang sesuai.

Sementara itu, Blatter berkata, beliau mengambil keputusan berundur selepas tidak lagi mendapat sokongan banyak pihak, biarpun berjaya mempertahankan jawatan bagi penggal kelima dalam pemilihan, Jumaat lalu.

Dua hari sebelum pemilihan berlangsung, FIFA dikejutkan dengan penahanan tujuh pegawai kanannya di Switzerland atas dakwaan rasuah dan perkembangan tersebut mendorong pihak penaja serta beberapa anggota FIFA mendesak Blatter untuk berundur.

Blatter disiasat sejurus selepas dia meletak jawatan presiden FIFA. – AFP
Blatter disiasat sejurus selepas dia meletak jawatan presiden FIFA. – AFP

“FIFA memerlukan penstrukturan semula yang lebih mendalam,” kata Blatter, yang akan memegang jawatan Presiden buat sementara waktu sehingga satu kongres luar biasa diadakan untuk memilih Presiden baharu.

Beliau tidak menyatakan bilakah tarikh kongres tersebut akan diadakan, namun ia dijangka berlangsung antara Disember, 2015 dan Mac, 2016.

Dalam perkembangan berkaitan, penaja utama FIFA percaya, peletakan jawatan Blatter adalah langkah pertama buat badan bola sepak dunia itu untuk membersihkan imej mereka yang tercalar ekoran skandal rasuah.

“Siasatan mengenai rasuah dan persoalan mengenai etika dalam kalangan pemimpin FIFA telah membayangi bola sepak dan menenggelamkan tumpuan yang sepatutnya diberikan kepada sukan itu, pemain serta peminat.

“Kami berharap, dengan perubahan yang berlaku ia akan menjadi langkah pertama untuk membersih­kan FIFA sebagai organisasi yang dihormati,” kata McDonald’s.

Coca-Cola dalam satu kenyataan pula berkata, pengumuman Blatter adalah ‘langkah positif untuk sukan, bola sepak dan peminat.’

Electronic Arts, syarikat permainan video rasmi FIFA berkata, mereka ‘menyokong langkah FIFA untuk mengkaji semula organisasi dan melakukan pembaharuan’.

Peletakan jawatan Blatter turut disambut baik Presiden Persatuan Bola Sepak Amerika Syarikat, Sunil Gulati yang menganggap ia sebagai langkah positif untuk melakukan reformasi terhadap FIFA, manakala Persatuan Bola Sepak Kanada (CAS) pula melihat ini peluang terbaik buat badan bola sepak dunia itu untuk memulihkan imej.

“Saya memuji tindakan Pre­siden Blatter yang mengutamakan kepentingan bola sepak berbanding peribadi,” kata Gulati, yang merupakan penyokong kuat Putera Ali Al Hussein dalam pemilihan Presiden, minggu lalu.

“Kanada mengalu-alukan keputusan Presiden Blatter dan menganggap peluang kini di depan kami untuk melakukan penstrukturan semula serta menaikkan imej bola sepak dunia,” kata CSA pula dalam satu kenyataan berasingan.