Blatter main tarik kalat

Blatter main tarik kalat

GENEVA, 28 Jun (AFP) – Sepp Blatter tidak akan bertanding lagi untuk jawatan presiden FIFA, katanya kepada sebuah akhbar Switzerland, tetapi menegaskan beliau akan kekal bertanggungjawab dalam badan pentadbir bola sepak dunia itu.

Dalam satu temu bual dengan Waliser Bote, Blatter berkata: “Saya bukan seorang calon, tetapi presiden yang dipilih.” Ditanya apa yang beliau cuba lakukan apabila bukan sebagai presiden, Blatter menjawab: “Saya tidak memikirkan mengenainya buat masa ini. Keputusan saya untuk pergi benar-benar satu pembebasan baik untuk FIFA mahu pun untuk diri sendiri.”

Komen itu dibuat sehari selepas satu lagi akhbar Swiss, Blick, menerbitkan temu bual dengan Blatter di mana beliau menegaskan ‘tidak meletakkan jawatan’ sebagai presiden FIFA.

Akhbar itu berkata Blatter membuat kenyataan buat pertama kali Jumaat lalu selepas penampilan terbuka terakhirnya pada sidang media 2 Jun lalu di mana dia mengatakan akan meletakkan jawatan sebagai presiden FIFA dan meminta pemilihan kepimpinan.

Tindakan Blatter menambah spekulasi dia sedang cuba untuk kekal bersama badan induk bola sepak dunia yang sedang dilanda skandal rasuah itu.