Blatter masuk hospital kerana stres

Blatter masuk hospital kerana stres

SWITZERLAND, 12 Nov (AFP) – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang sedang berdepan dakwaan rasuah, Sepp Blatter (gambar) dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di bawah pemeriksaan perubatan kerana mengalami tekanan.

Dia dijangka dibenarkan keluar pada awal minggu depan, menurut jurucakapnya semalam.

“Buat masa sekarang, dia berada di hospital,” kata jurucakap Blatter, Klaus Stoehlker kepada AFP melalui telefon.

Stoehlker menambah, Blatter, 79 ‘telah memperoleh semula selera humornya’ dan berjanji untuk terus berjuang terhadap tuduhan dan dakwaan rasuah antara dirinya dengan FIFA.

Blatter, orang yang paling lama berkuasa dalam bola sepak dunia, sebelum ini mendapat rawatan perubatan dari rumahnya.

pg23_151113_a

Anak perempuan Blatter, Corinne, berkata bapanya terpaksa membatalkan semua temu janji sehingga 15 November ini.

Stoehlker sebelum itu berkata rawatan perubatan itu mempunyai kaitan dengan tekanan yang dihadapi lelaki dari Switzerland itu.

Blatter berdepan skandal terburuk yang pernah menimpa dunia bola sepak. Para penyelidik di Switzerland membuka kes jenayah terhadap dirinya pada September.

Blatter, yang telah memimpin FIFA sejak 1998, berkata akan mengundurkan diri pada 26 Februari tahun depan, ketika kongres FIFA memilih presiden baru.