Blatter percaya dia dikhianati

Blatter percaya dia dikhianati

ZURICH, 22 Dis (AFP) – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter, yang mendakwa dikhianati akan membuat rayuan terhadap hukuman gantung lapan tahun yang dibuat oleh Jawatankuasa Etika badan induk itu ke atasnya.

Blatter, 79, berkata hakim dalam perbicaraan itu mengabaikan bukti yang wujud.

Bercakap di sini, sebagai simbolik bekas ibu pejabat FIFA, Blatter berkata, perkara pertama yang akan diambilnya ialah membawa kes itu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum mencabar keputusan penggantungan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan di Lausanne.

Blatter berkata, dia terkejut apabila hakim terbabit menolak bukti mengenai kewujudan kontrak lisan.

“Anda bertanya kepada saya jika saya rasa dikhianati… jawapannya ya,” kata Blatter yang juga rakyat Switzerland.

Sepp Blatter bersama anaknya tiba di Zurich bagi sesi sidang media bersama wartawan. - Reuters
Sepp Blatter bersama anaknya tiba di Zurich bagi sesi sidang media bersama wartawan. – Reuters

Bercakap dalam bahasa Inggeris, Blatter berkata: “Jawatankuasa Etika menafikan bukti dan mereka cuba untuk membina sesuatu sehingga yang tidak benar … Ada sesuatu yang tidak benar tidak dapat dibuktikan.”

Katanya, dia berasa kasihan terhadap FIFA, yang ketika ini sedang dilanda skandal rasuah, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk dakwaan jenayah yang menyasarkan pegawai tertingginya oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS).

Blatter ketika ini turut menjadi sasaran utama terhadap dakwaan jenayah yang dibuat oleh Peguam Negara Switzerland.

FIFA menjatuhkan hukuman terbabit ke atas Blatter dan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini kerana bayaran sebanyak AS$2 juta dibuat ke atas Platini pada 2011.

Pembayaran itu dikatakan atas kerja yang dilakukan bekas pemain bola sepak Perancis itu sejak sedekad lalu.

Kedua-duanya menegaskan bayaran itu sebagai sah dan sebahagian daripada kontrak lisan.