Blatter serahkan kerusi IOC

Blatter serahkan kerusi IOC

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (AFP) – Pemimpin FIFA Sepp Blatter yang di bawah tekanan hari ini menyerahkan kerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana tidak lama lagi dia akan mengakhiri pemerintahannya sebagai pengendali badan bola sepak dunia.

Blatter, yang mana organisasinya terbabit dalam skandal rasuah, adalah antara sekumpulan lapan anggota IOC yang sepatutnya mendapatkan pemilihan semula pada mesyuarat jawatankuasa itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Blatter sendiri berkata bahawa dia akan turun sebagai presiden FIFA pada 26 Februari apabila pilihan raya pemimpin baru akan diadakan.

Presiden IOC Thomas Bach berkata, Blatter “menganggap adalah tidak wajar bagi beliau dilantik semula untuk lapan tahun lagi kerana menyedari tempohnya akan berakhir dalam tujuh bulan lagi.”

Bach mengucapkan terima kasih kepada Blatter dan ahli-ahli lain yang meninggalkan IOC di atas sumbangan besar mereka untuk pergerakan Olimpik. Blatter, yang telah menjadi ahli IOC sejak 1999, tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa itu di Kuala Lumpur.

Blatter berjabat tangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin semasa undian kelayakan Piala Dunia 2018 di Konstantin Palace, 25 Julai lalu. – Reuters
Blatter berjabat tangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin semasa undian kelayakan Piala Dunia 2018 di Konstantin Palace, 25 Julai lalu. – Reuters

Presiden FIFA merupakan sebahagian daripada Suruhanjaya IOC yang memutuskan pembaharuan organisasi Olimpik selepas skandal rasuah Olimpik Musim Sejuk Salt Lake City pada 2002.

Selepas beberapa pegawai FIFA ditangkap atas tuduhan rasuah hujung bulan Mei, Blatter hanya bertemu dengan wakil media buat kali pertama pada 20 Julai sejak mengumumkan peletakan jawatan sebagai pemimpin badan induk bola sepak dunia itu.

Blatter dan Setiausaha Agung, Jerome Valcke bakal menghadiri sidang media itu selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif yang bakal menetapkan mesyuarat agung luar biasa FIFA dan pemilihan presiden.

Pada usia 79 tahun, Blatter dipilih semula bagi penggal kelima sebagai Presiden FIFA pada 29 Mei lalu, namun mengumumkan akan meletak jawatan dan bakal mengadakan proses pemilihan baharu tanpa bertanding semula.

Pengumuman itu hadir tatkala FIFA sedang huru hara selepas 14 eksekutif pemasaran sukan dan pegawai bola sepak, termasuk beberapa daripada FIFA, didakwa di Amerika Syarikat pada lewat Mei lalu atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penipuan membabitkan lebih $150 juta.

Tujuh daripada yang didakwa itu, ditahan polis Switzerland dalam serbuan di sebuah hotel mewah dua hari sebelum Kongres FIFA berlangsung yang menyaksikan Blatter dipilih semula.