Blatter terkejut taktik agensi antirasuah

Blatter terkejut taktik agensi antirasuah

ZURICH, 1 Jun (AFP) – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter semalam melahirkan rasa terkejut dengan taktik yang digunakan penyiasat antirasuah Amerika Syarikat tetapi menegaskan, dia tidak menjadi sasaran agensi tersebut.

Pemimpin kelahiran Switzerland berusia 79 tahun itu nyata tersinggung selepas di­pilih semula untuk penggal baharu Jumaat lalu, apabila dia mengecam kempen membencinya oleh pemimpin-pemimpin bola sepak Eropah.

Blatter berkata, dia mengesyaki penangkapan tujuh pegawai FIFA di Zurich, Rabu lalu di bawah arahan Agensi Antirasuah Amerika Syarikat merupakan satu percubaan untuk ‘mengganggu kongres’ daripada mengembalikan kuasa kepada dirinya.

“Terdapat petanda yang memang tidak silap lagi, kerana Amerika Syarikat merupakan calon Piala Dunia 2022 dan mereka tewas. Saya tidak pasti, tetapi situasi ini memang tidak menyenangkan,” katanya kepada ste­sen televisyen Switzerland, RTS.

Dia menyifatkan, Amerika Syarikat merupakan penaja No. 1 Jordan, negara kelahiran pencabarnya dalam perebutan jawatan Presiden FIFA, Putera Ali Al Hussein.

Putera Jordan itu, yang mendapat sokongan daripada badan induk bola sepak Eropah, UEFA menarik diri daripada pemilihan Jumaat lalu selepas tewas dalam undian pusingan pertama.

Tujuh pegawai telah ditahan kerana kes rasuah di Amerika Utara serta Selatan dan Blatter berkata, mereka boleh ditangkap di tanah air masing-masing atau pun ketika mesyua­rat Jawatankuasa Eksekutif FIFA, enam minggu lalu.

Blatter turut mengutuk komen tentang FIFA yang dilemparkan oleh pegawai kanan badan kehakiman Amerika Syarikat, termasuk Ketua Pendakwaraya, Loretta Lynch yang melahirkan kekesalannya terhadap rasuah bola sepak yang kini berleluasa.

“Sudah tentu saya terkejut. Sebagai Presiden FIFA saya tidak akan sesekali memberi komen tentang organisasi lain tanpa dipastikan apa yang telah berlaku,” kata Blatter.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat setakat ini telah mendakwa 14 individu, termasuk tujuh orang yang ditahan di Zurich, di atas pertuduhan rasuah yang melibatkan AS$150 juta (RM549 juta) untuk kontrak media sukan. Pe­nangkapan itu juga termasuk dua Naib Presiden FIFA.

ARTIKEL YANG SAMA