Blind tekad kekalkan tempat

Blind tekad kekalkan tempat

MANCHESTER, England, 12 Ogos – Daley Blind mungkin agak rendah dan kurang bertenaga namun pemain tengah Manchester United itu menegaskan dia mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan bertindak cemerlang sebagai pertahanan tengah.

Pengurus Louis van Gaal menurunkan pemain Belanda berusia 25 tahun itu di samping Chris Smalling menentang Tottenham Hotspur pada perlawanan pertama United pada Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu, sesudah mencuba keupayaan warga senegaranya itu di pertahanan tengah ketika pra-musim.

United memenangi perlawanan itu 1-0 menerusi jaringan sendiri pemain Tottenham, Kyle Walker.

Blind berpuas hati dengan persembahannya dan kejayaan pasukan tidak dibolosi gol terutama kemampuannya mengekang penyerang prolifik Harry Kane sepanjang 90 minit.

“Saya mendapat peluang beraksi di sini dan mencuba yang terbaik. Sudah tentu, orang sering berkata saya tidak mempunyai ketinggian atau kekuatan tenaga tapi saya fikir saya cukup pandai dan bijak menangani situasi,” kata Blind yang mempunyai ketinggian 1.80 meter.

Harry Kane Tottenham Hotspur (dua kanan) bersaing dengan pemain Manchester United Daley Blind dan Chris Smalling (kanan) dalam aksi liga di Old Trafford, 8 Ogos lalu. – AFP
Harry Kane Tottenham Hotspur (dua kanan) bersaing dengan pemain Manchester United Daley Blind dan Chris Smalling (kanan) dalam aksi liga di Old Trafford, 8 Ogos lalu. – AFP

“Banyak kali saya katakan sebelum ini saya hanya mahu bermain,” ujarnya.

“Jika anda lihat apa yang boleh disumbangkan kepada pasukan, maka ia satu persaingan sihat merebut tempat di setiap posisi.

“Saya fikir kami bertindak baik di benteng pertahanan, bersama Chris, Luke (Shaw) dan Matteo (Darmian) dan kami tidak dibolosi sebarang gol jadi saya amat gembira,” katanya. – Reuters