Blinky Bill ‘lawat’ hospital

Blinky Bill ‘lawat’ hospital

SYDNEY, 5 Mei (AFP) – Seekor koala yang bersikap ingin tahu dengan nama timang-timangannya “Blinky Bill” telah berjalan-jalan hingga memasuki jabatan kecemasan sebuah hospital di Australia, menerokai dan menanti selama beberapa minit sebelum merayau-rayau keluar.

Kunjungan tidak diduga itu, dirakamkan di CCTV, mengundang kegembiraan kepada para pekerja kesihatan dan telah tersebar di Facebook.

Ketua eksekutif Perkhidmatan Kesihatan Daerah Barat, Rohan Fitzgerald berkata haiwan berbulu itu ‘sangat bersahaja’ apabila ia berjalan memasuki hospital itu di bandar Hamilton kira-kira 300 kilometer barat Melbourne.

“Ia adalah koala yang tahu apa hendak dilakukan,” Fitzgerald memberitahu AFP.

“Ia datang sekitar pukul 3:27 pagi, pengawasan elektronik di pintu mengesannya dan ia memasuki bilik menanti dengan sendirinya.

“Ia berjalan di sekitar bilik menanti selama tiga minit dan kemudian bersandar di hadapan pintu-pintu dalam dan pengawasan pintu mengesannya lagi dan ia keluar meninggalkan bilik menunggu.

“Itu adalah pengalamannya di bahagian kecemasan hospital.”

Kejadian berlaku pada 20 April tetapi video hanya dimasukkan ke Facebook lewat semalam. Sejak itu, ia ditonton lebih 40,000 kali, dengan rangkaian televisyen Amerika menyiarkan rakaman itu.

Fitzgerald berkata haiwan-haiwan itu diketahui memasuki halaman belakang rumah di kawasan itu, tetapi dia tidak pernah melihat seekor yang seberani “Blinky Bill” – yang diberi nama sempena nama kartun kaola popular Australia dalam tahun 1930an.

“Blinky Bill adalah kaola kecil. Ia agak nakal dan suka berjalan dan menerokai benda-benda… ia sebenarnya sudah menjadi ikon Australia,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA