Operasi loji BLNG terjejas

Operasi loji BLNG terjejas

KUALA BELAIT, 29 Nov – Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa pada 29 November 2016, kira-kira jam 4:30 petang, Brunei LNG Sdn Bhd (BLNG) telah mengalami kegagalan loji kuasa di Lumut menyebabkan api besar, asap hitam serta bunyi bising yang berlarutan. Kegagalan itu juga memberi kesan kepada bekalan kuasa elektrik di beberapa bahagian Daerah Belait.

Tiada kecederaan kepada kakitangan dan rakan niaga telah dilaporkan akibat kejadian itu.Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keselamatan kakitangan, rakan niaga dan masyarakat sekeliling serta mengurangkan kesan daripada kejadian ini.

Loji BLNG mungkin mengambil masa 12 jam (dari jam 10 malam) untuk memulihkan operasi dan menyambung semula bekalan kuasa di kawasan yang terjejas. Manakala bekalan kuasa ke daerah lain tidak terjejas.

Orang ramai diingatkan supaya bertenang dan menunggu perkembangan terkini mengenai kejadian itu melalui sumber rasmi. Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu melalui laman sesawangnya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ketua Korporat dan Pentadbiran, Hajah Zainab M.A. Omar di talian 8752232.