Blogger terkenal di penjara

Blogger terkenal di penjara

HANOI, 21 Sept (AFP) – Seorang blogger terkenal yang dipenjarakan selepas beliau menulis mengenai rasuah dalam polis dan badan kehakiman negara Komunis telahpun dibebaskan dan meninggalkan negara, kata kedutaan AS hari ini.

“Kami mengalu-alu keputusan oleh pihak berkuasa Vietnam untuk membebaskan Ta Phong Tan,” beritahu TerryWhite, jurucakap untuk kedutaan Washington di Hanoi, kepada AFP.

Pihak berkuasa Vietnam masih belum mengeluarkan satu kenyataan mengenai pembebasan beliau.

Ta Phong Tan, 47, dipenjarakan selama 10 tahun pada 2012 di bawah pelbagai tuduhan menerbitkan “propaganda anti-kerajaan.”

Beliau telah menggunakan blognya untuk memaparkan wang sogokan dan penyalahgunaan hak asasi manusia dalam pasukan polis dan sistem mahkamah negara.

Rasuah masih merupakan isu besar yang menimbulkan kemarahan ramai warga Vietnam dan penduduk tempatan sering mengadu terpaksa membayar rasuah kepada pegawai dan ahli perniagaan.

Ta Minh Tu, adik perempuan Ta Phong Tan, berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan rawatan perubatan di AS atas artritis dan tekanan darah tinggi.

“Pembebasan beliau berjaya dilakukan disebabkan tekanan kuat dari Amerika Syarikat,” beritahunya kepada AFP menerusi telefon.

Ta Phong Tan adalah antara berpuluh blogger dan wartawan yang telah ditahan atau didakwa oleh pihak berkuasa Vietnam.

Parti Komunis Vietnam, yang telah mentadbir negara sejak 1975, bersikap sensitif terhadap mana-mana kritikan awam mengenai pemerintahannya.

Menurut Wartawan Tanpa Batasan, Vietnam kini sedang menahan sekurang-kurangnya 34 blogger dalam penjara.