Blok asrama SK Long Busang musnah terbakar

Blok asrama SK Long Busang musnah terbakar

SIBU, 15 Ogos – Sebuah blok asrama murid lelaki Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busang, Belaga musnah dalam kebakaran pada kira-kira 3:40 petang semalam.

Asrama yang siap dibina setahun lalu bagi menggantikan blok yang musnah terbakar sebelumnya, dapat menampung kira-kira 30 orang murid.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Melay Tinggom yang mengesahkan kejadian itu berkata, kebakaran itu dipercayai berlaku akibat litar pintas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya mengikut laporan yang diterima daripada guru besar sekolah itu, Tomat Ntau, kebakaran itu turut memusnahkan dua bilik pembantu pengurusan murid dan semua dokumen murid.

SK Long Busang yang terletak berdekatan dengan perkampungan kaum Kenyah Badeng di Long Busang hanya dapat dihubungi menggunakan jalan darat selama satu setengah jam dari pekan Belaga ke Hidro Bakun sebelum menggunakan bot antara lapan hingga sembilan jam. – Bernama