Blues boleh cipta rekod dunia

Blues boleh cipta rekod dunia

LONDON, 8 Okt (Agensi) – Pemilik Chelsea, Roman Abramovich perlu membayar pampasan yang mencecah rekod dunia 37.5 juta pound sekiranya dia memutuskan untuk memecat pengurus pasukan Jose Mourinho.

Akhbar Britain, Daily Star semalam mendedahkan, Mourinho mempunyai kontrak bernilai lebih 10 juta pound setahun di Stamford Bridge dan Chelsea masih terikat dengan jurulatih kelahiran Portugal itu selama tiga tahun.

Sekalipun Abramovich terkenal dengan kesanggupan membayar pampasan yang tinggi untuk memecat pengurus, namun jumlah yang perlu dikeluarkan untuk melepaskan Mourinho adalah terlalu besar.

Hartawan Rusia itu pernah membayar harga tinggi 12.6 juta pound ketika menyingkirkan pengendali kelahiran Brazil, Luiz Felipe Scolari pada 2009. Andre Villas-Boas pula dibayar 12 juta pound ketika dilepaskan oleh kelab London itu pada 2012.

Selepas kalah 1-3 kepada Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri pada Ahad lalu, Mourinho menegaskan, dia hanya akan meletak jawatan sekiranya tidak lagi mendapat kepercayaan pemain, dan kelmarin, Chelsea mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menyokong penuh jurulatih itu untuk kekal membimbing The Blues.

Pengurus Chelsea Jose Mourinho. – Reuters
Pengurus Chelsea Jose Mourinho. – Reuters

Ketua pasukan John Terry yang sering diturunkan sebagai pemain gantian sepanjang musim ini turut menyatakan sokongan terhadap pengurus berusia 52 tahun itu.

“Sekiranya ada orang yang boleh mengeluarkan kami daripada masalah ini, maka orang itu adalah Jose Mourinho,” kata Terry.

Ironiknya, bekas bintang Chelsea, Claude Makelele dalam autobiografinya pada 2009 mendakwa Mourinho meninggalkan kelab London itu lapan tahun lalu kerana komplot pemain dan Terry antara yang mengetuai gerakan tersebut.

Makelele, dalam buku berkenaan, turut mendedahkan pembantu jurulatih Rui Faria memberitahunya bahawa Mourinho akan dipecat oleh Abramovich.

“Tanya dia sendiri (Mourinho) mengapa ramai pemain yang merungut mengenai dia, terutama John Terry,” tulis Makelele dalam buku tersebut.

Terry dan Chelsea menafikan dakwaan itu, namun buku yang bertajuk Claude Makelele: Tout simplement, kekal dalam pasaran di Perancis dan tidak pernah ditarik balik.

Empat kekalahan yang dialami The Blues dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini menyebabkan mereka kini menghuni anak tangga ke-16. Malah, secara keseluruhan Chelsea telah mengalami enam kekalahan, termasuk dalam saingan Liga Juara-juara dan Perisai Komuniti.

ARTIKEL YANG SAMA