BM paling ramai penutur

BM paling ramai penutur

KUALA LUMPUR, 6 April – Bahasa Melayu-Indonesia dinobatkan sebagai satu daripada 10 bahasa utama dunia yang paling ramai penuturnya, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pemilihan itu dibuat oleh Ethnologue: Languages of the World iaitu sebuah pusat rujukan komprehensif bahasa dalam talian yang dikendalikan oleh Summer Institute of Linguistics (SIL International).

Katanya Bahasa Melayu juga telah direkodkan sebagai satu daripada 10 bahasa utama yang paling banyak digunakan dalam Internet oleh Internet World Stats bagi tahun 2015.

“Bahasa Melayu berada pada kedudukan ke-8 dan telah mendahului bahasa Perancis yang berada di tangga ke-9 dan dengan potensi sedemikian, bahasa Melayu-Indonesia perlu diupaya atau dipromosikan sebagai satu ciri utama komuniti ASEAN,” katanya dalam majlis perasmian Sidang Ke-55 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) Dan Seminar Kebahasaan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Tan Sri Dr. Madinah Mohamad (dua, kanan) melihat Kamus Istilah Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pada Majlis Perasmian Sidang ke-55 MABBIM di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Bernama
Tan Sri Dr. Madinah Mohamad (dua, kanan) melihat Kamus Istilah Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pada Majlis Perasmian Sidang ke-55 MABBIM di Dewan Bahasa dan Pustaka. – Bernama

Mahdzir berkata rantau Nusantara yang menempatkan negara Asean dihuni oleh satu entiti bangsa yang tersendiri dan unik dengan keragaman budayanya.

“Satu daripada ciri utama ASEAN ialah bahasa Melayu-Indonesia yang menjadi bahasa paling dominan dan paling banyak penuturnya,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata MABBIM yang mula ditubuhkan sejak tahun 1972 berperanan bukan sekadar badan kebahasaan serantau yang membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan, malah dilihat sebagai sebuah badan yang mempererat hubungan persahabatan dan persaudaraan tiga budaya serumpun berteraskan semangat kerjasama dan permuafakatan melalui satu bahasa yang serupa dan sepunya.

Jelasnya, subtema bagi perbahasan tahun ini iaitu penamaan tempat awam sebagai citra negara amatlah penting dan menarik untuk dibincangkan.

“Kita harus sedar bahawa penamaan tempat awam yang melibatkan papan tanda nama perniagaan, iklan dan sebagainya merupakan salah satu unsur yang memberikan citra kepada negara dan bangsa kita.

“Penggunaan bahasa yang betul dan baik tidak tercemar dengan pengaruh asing wajar ditekankan agar dapat meningkatkan citra kebangsaan dan jati diri bangsa,” katanya. – Bernama