BMB FT tewaskan LSCB 4-1

BMB FT tewaskan LSCB 4-1

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Naib juara Kumpulan A, BMB FT mengiringi lima juara kumpulan Futsal Piala Perdana TelBru 2015 apabila menghalang hasrat naib juara Kumpulan C, LSCB beraksi dalam Liga Futsal Brunei (BFL) musim depan dengan menewaskannya 4-1 dalam perlawanan pertama 16 terakhir.

LSCB yang lebih awal menerajui perlawanan menerusi jaringan Mohd Shahwal pada minit ke-4 tetapi kedudukan segera menjadi 1-1 beberapa saat kemudian apabila Mohd Adi Shahrol menyamakan kedudukan buat BMB FT.

Dua minit kemudian, perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu beralih hala dengan giliran BMB FT pula menerajui perlawanan, dengan jaringan 2-1, hasil jaringan Mohd Nasyrul.

Perlawanan kemudiannya tidak menyaksikan sebarang gol lagi dihasilkan sehingga rehat dan kebuntuan jaringan itu berterusan dalam tempoh lima belas minit berlangsungnya separuh masa kedua.

Suasana dewan menjadi riuh semula pada minit ke-36 apabila jaringan keempat perlawanan akhirnya hadir, dijaringkan oleh Mohd Adi Sahrol untuk gol kedua peribadi dan ketiga BMB FT, yang jelas memberi tamparan hebat kepada usaha mengejar LSCB.

Mohd Adi Shahrol ketika melakukan rembatan yang menghasilkan gol ketiga BMB FT (kuning) bagi membantu pasukannya menang 4-1 ke atas LSCB.
Mohd Adi Shahrol ketika melakukan rembatan yang menghasilkan gol ketiga BMB FT (kuning) bagi membantu pasukannya menang 4-1 ke atas LSCB.

Seminit kemudian BMB FT berjaya lagi membolosi gawang LSCB apabila Mohd Nasyrul mendapati dirinya bersendirian di dalam petak LSCB mudah menguis bola melepasi penjaga gol LSCB yang meluru kepadanya.

Ketinggalan 1-4 ketika perlawanan hanya berbaki tiga minit, LSCB nampak tertekan namun terus berjuang untuk sekurang-kurangnya mendapatkan tiga gol bagi menyamakan kedudukan namun BMB FT bertahan baik untuk perlawanan berakhir memihaknya 4-1.

Menanti BMB FT di suku akhir nanti ialah juara Kumpulan A, 1st Five. Kedua-duanya sudah pun bertemu pada peringkat kumpulan dalam Kumpulan A pada 23 Ogos lalu yang dimenangi BMB FT dengan jaringan 7-5, namun ketika itu 1st Five merehatkan pemain utamanya kerana sudah mengesahkan status juara kumpulan. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA