BMB tambat Samba

BMB tambat Samba

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Tiada yang dapat memisahkan Samba FT dengan BMB FT pada kedua-dua separuh masa yang terikat 1-1 di babak pertama dan kemudiannya 4-4 selepas perlawanan berakhir.

Azizi membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-13 untuk Samba FT mendahului 1-0, namun seminit sebelum pengadil meniupkan wisel penamat separuh masa pertama, Md Arif meledakkan jaringan buat BMB FT.

Ketika perlawanan dimulakan semula pada babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan hasrat ingin menambah jaringan tetapi jaringan hanya terhasil tujuh minit kemudian melalui sumbangan Md Husaini untuk mengembalikan semula kelebihan satu gol Samba FT.

Pendahuluan 2-1 dalam perlawanan Kumpulan A Futsal Piala Perdana TelBru 2015 itu bagaimanapun hanya bertahan dua minit apabila Md Nazimullah menyamakan kedudukan buat BMB FT.

Samba FT (kuning) dan BMB FT berkongsi 1 mata dalam Kumpulan A apabila seri 4-4.
Samba FT (kuning) dan BMB FT berkongsi 1 mata dalam Kumpulan A apabila seri 4-4.

Perlawanan pertama malam semalam di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu terus berlangsung rancak memasuki pertengahan separuh masa kedua dan pada minit ke-32 Azizi merembat masuk gol peribadi keduanya untuk gol ketiga Samba FT.

Kedudukan kembali seimbang tiga minit berselang dengan gol penyamaan BMB FT kali ini untuk kedudukan 3-3 dijaringkan oleh Md Ikhmarul Izzat, cuma untuk Azizi mencatat hatriknya beberapa saat kemudian yang dijangka menjadi gol kemenangan Samba FT pada kedudukan 4-3.

Md Arif mempunyai perancangan lain apabila memanfaatkan kesilapan pertahanan Samba FT untuk menyumbatkan gol penyamaan keempat BMB FT pada minit ke-38, yang ternyata menjadi jaringan terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad 4-4.

ARTIKEL YANG SAMA