BMC terap kesedaran hidupan liar

BMC terap kesedaran hidupan liar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 3 Sept – Syarikat Metanol Brunei (BMC) dengan kerjasama Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU), telah mengadakan Jerayawara Kesedaran Mengenai Hidupan Liar Fasa Ketiga yang berlangsung di Maktab Anthony Abel (AAC), Seria, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Awang Daud bin Haji Jais. Turut hadir ialah Pengetua AAC, Dayang Masdiana binti Abdul Samad.

Semasa ditemui selepas jerayawara berkenaan, Awang Daud memberitahu jerayawara berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan dan program tanggungjawab sosial (SCR) BMC dalam memupuk identiti syarikat di mata penduduk Kampung Lumut, Sungai Liang dan Mukim Labi serta sebagai salah satu usaha bagi pemuliharaan hidupan liar di hutan-hutan berdekatan.

Menurutnya, BMC juga merancang untuk meneruskan program jerayawara berkenaan ke daerah-daerah lain di masa akan datang.

“Mengadakan program jerayawara seperti ini merupakan satu kejayaan yang sangat baik buat BMC kerana kami menerima banyak maklum balas yang baik daripada pelajar-pelajar sekolah kerana mereka dapat memahami akan mengapa dan kepentingan untuk melindungi hidupan-hidupan liar yang terdapat di negara ini,” ujarnya.

Tetamu kehormat (tengah) mendengar penerangan daripada ahli BruWILD.
Tetamu kehormat (tengah) mendengar penerangan daripada ahli BruWILD.

Katanya lagi, beberapa badan bukan kerajaan dan sektor swasta seperti BruWILD yang berusaha untuk melindungi alam flora dan fauna di negara ini juga menyokong dan mengikuti jerayawara ini di fasa pertama dan kedua dan juga di acara-acara yang lain.

“Kebanyakan sekolah-sekolah sering kali diterapkan dengan semangat memulihara tenaga dan alam sekitar, kini ada juga pentingnya bagi pelajar-pelajar untuk mengetahui akan pemuliharaan hidupan-hidupan liar,” tambah beliau.

Awang Daud juga menyuarakan hasrat BMC untuk melibatkan diri dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam beberapa kempen kesedaran yang bermakna, yang setentunya dapat membawa banyak faedah kepada masyarakat sekeliling di masa akan datang.

Tambahan lagi, katanya, kawasan Lumut, Sungai Liang dan Mukim Labi adalah tempat tinggal haiwan seperti Penyu Lipas dan “Clouded Leopard”, justeru itu menjadi tanggungjawab bagi Syarikat BMC untuk berusaha melindungi hidupan liar yang tinggal perairan dan di darat sekelilingnya.

Selain pameran yang dikendalikan oleh bahagian-bahagian di bawah KPSSU, jerayawara sehari itu turut mendengarkan taklimat daripada Bahagian Hidupan Liar KPSSU; Bahagian BioSekuriti, BruWILD dan seorang pemerhati burung dan aktivis pemuliharaan, Awang Mohammad Vol bin Momin.

ARTIKEL YANG SAMA