BMF ke-2 buka tirai

BMF ke-2 buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Forum Brunei-Malaysia (BMF) ke-2 membuka tirainya hari ini dengan majlis pelancarannya di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), di sini, di mana sebanyak 30 kertas kerja akan dibentangkan dalam forum dua hari berkenaan.

Pelancaran forum bertema ‘Integrasi Asia melalui pertukaran pengetahuan’ ini dikendalikan oleh UBD melalui Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) dengan kerjasama Universiti Malaya.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Dekan FASS, Dr Hajah Asiyah Az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dekan Fakulti FASS menekankan bahawa kita hidup dalam era di mana kita semua di bawah tekanan untuk ‘publish or perish’, oleh itu perhimpunan dua hala seperti ini merupakan peluang untuk membangunkan lebih dekat kerjasama penyelidikan yang mempunyai potensi untuk penerbitan bersama.

“Kami berharap melalui pembentangan ucaptama yang berikut, lapan sesi BMF dan bursa formal sambil minum kopi, makan tengah hari dan makan malam, kita boleh bergerak ke arah kerjasama lebih erat dan produktif,” ujarnya.

Penolong Naib Chanselor (Global Affairs) UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean ketika melancarkan Forum Brunei-Malaysia 2016.
Penolong Naib Chanselor (Global Affairs) UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean ketika melancarkan Forum Brunei-Malaysia 2016.
Ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Noor Azam.
Ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Noor Azam.

Selepas itu, majlis diikuti dengan pembentangan ucaptama oleh Profesor Madya Dr Noor Azam bin OKMB Haji Othman dari UBD yang juga selaku pengarah Pusat Penyelidikan Lanjutan (CARe), UBD.

Dalam ucaptama bertajuk ‘The Rise of the Modern State of Brunei: Social Change and Identity Formation’ itu, beliau membincangkan mengenai perkembangan keadaan Brunei di zaman pemerintahan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien III memandangkan Brunei mula membangun dengan pesat disokong lagi dengan hasil minyaknya.

Selain itu, beliau juga menyentuh beberapa cara di mana identiti kebangsaan Brunei dikekalkan dan disatukan pada tahun-tahun berikutnya melalui konsep Melayu Islam Beraja.

Forum ini memberi peluang kepada ahli-ahli akademik dan pelajar pasca siswazah untuk membentangkan hasil kerja penyelidikan mereka.

Dalam forum ini kertas-kertas kerja yang dibentangkan menyentuh mengenai pelbagai topik di bawah tema yang berbeza seperti budaya popular dan jantina; geografi dan pertanian; media dan komunikasi; bahasa, linguistik dan kesusasteraan; khazanah dan arkitektur serta sejarah dan sosiologi.

ARTIKEL YANG SAMA