BMOG catat sejarah konvoi hingga ke Sabah

BMOG catat sejarah konvoi hingga ke Sabah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 April – Kelab Brunei Mercedes Owner Group (BMOG) telah mencatatkan sejarah sejak penubuhannya apabila berjaya membuat perjalanan menjelajahi Brunei hingga ke Sabah secara berkonvoi, baru-baru ini.

Presiden Kelab BMOG, Awang Norahmadi bin Haji Kepli, yang mengetuai program tersebut, hari ini, memberitahu bahawa hampir 20 buah kereta Mercedes vintaj telah menyertai konvoi yang diadakan pada 26 Mac lalu.

Menurutnya, perjalanan secara konvoi sejauh kira-kira 400 kilometer dengan gabungan peserta BMOG dan rombongan Kelab Mercedes Ventage Sabah itu antara lain bertujuan untuk menyatupadukan hubungan dan mengeratkan silaturahim antara ahli kedua-dua kelab berkenaan.

“Ianya merupakan aktiviti yang mencatatkan sejarah penubuhan kelab kami, apabila berpeluang bergabung konvoi dengan kereta-kereta Mercedes vintaj Sabah yang berusia kira-kira 20 tahun, dan kami juga sangat bersyukur kerana mengalami perjalanan yang lancar sepanjang destinasi berkonvoi ini,” kata Haji Norahmadi.

Gambar kenangan BMOG bersama Kelab Mercedes Vintage Sabah melalui Perjalanan Jelajah Konvoi Brunei hingga Sabah baru-baru ini.
Gambar kenangan BMOG bersama Kelab Mercedes Vintage Sabah melalui Perjalanan Jelajah Konvoi Brunei hingga Sabah baru-baru ini.

Semasa berada di Sabah, rombongan telah berpeluang dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah dengan diketuai oleh rombongan peserta kelab di Sabah, selain berpeluang bermuzakarah bertukar-tukar pandangan dan pengalaman.

BMOG merancang untuk menganjurkan aktiviti yang sama pada masa akan datang, dengan hasrat untuk dapat memupuk ikatan persahabatan dengan kelab-kelab yang ada di negara-negara jiran.

BMOG juga mengalu-alukan kepada mereka yang berminat untuk menyertai kelab mereka dengan melayari laman sesawang mereka di www.bruneimercedesownergroup.blogspot.com.

ARTIKEL YANG SAMA