BMW 7 Series dipamerkan di LTAB

BMW 7 Series dipamerkan di LTAB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – QAF Auto, pengimport tunggal BMW di Negara Brunei Darussalam, kini sedang menumpukan usaha untuk mempromosi dan menjana lebih kesedaran mengenai kenderaan BMW terbaru, BMW 7 Series menerusi pelbagai acara awam dan peribadi di seluruh negara.

Salah satu kaedah untuk mengetengahkan kenderaan mewah itu kepada orang ramai adalah dengan mempamerkannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) di mana ia boleh menarik minat para penumpang yang sedang menunggu untuk menaiki penerbangan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh QAF Auto, di sini, hari ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei merupakan antara salah sebuah lapangan terbang pertama di rantau ini untuk mempamerkan sebuah kereta dalam ruang lapangan terbang berkenaan.

Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa pameran kereta merupakan sesuatu yang sering dilihat di lapangan-lapangan terbang di Eropah atau Amiriah Arab Bersatu dan pameran kereta BMW 7 Series itu merupakan salah satu tarikan utama bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang baru diubahsuai.

BMW 7 Series yang dipamerkan itu menjadi satu tarikan di LTAB yang baru diubahsuai.
BMW 7 Series yang dipamerkan itu menjadi satu tarikan di LTAB yang baru diubahsuai.

Kereta BMW 7 Series terbaru dalam warna Mineral White, tampak menawan dipamerkan dalam Dewan Berlepas, Pintu 1, lapangan terbang berkenaan dan dipercayai akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu.

BMW mentakrifkan semula pengalaman dan wajah pemanduan mewah dalam bentuk kontemporari dan perintis siri terbaru, BMW 7 Series.

Kereta terbaru BMW itu, mengetengahkan teknologi terbaru dalam pelbagai bidang termasuk reka bentuk ringan, powertrains, casis, sistem operasi, perhubungan pintar dan suasana dalaman yang mengetengahkan nikmat pemanduan dan keselesaan jarak jauh sebuah kereta sedan mewah.

ARTIKEL YANG SAMA