BMW Jerman periksa ‘implikasi cap dagang’ Alphabet

BMW Jerman periksa ‘implikasi cap dagang’ Alphabet

BERLIN, 12 Ogos – BMW Jerman berkata semalam ia sedang memeriksa “implikasi cap dagang” di mana Google menamakan syarikat induk barunya Alphabet, yang merupakan nama berdaftar salah satu subsidiari pengeluar kereta.

Syarikat Internet Google telah menubuhkan Alphabet sebagai sebuah syarikat pegangan untuk mengumpulkan bar gelintar dan projek lain seperti cawangan penyelidikan X Lab, unit pelaburan Google Ventures dan operasi kesihatan dan sains lain.

Tindakan itu mengejutkan BMW yang berpangkalan di Munich, yang telah mengendali sebuah subsidiari selama beberapa tahun dengan nama yang sama yang menyediakan perkhidmatan armada kereta korporat.

Ia mempunyai nama domain Internet www.alphabet.com sementara syarikat induk baru Google mempunyai alamat www.abc.xyz.

“Adalah perlu untuk memeriksa implikasi cap dagang dari segi undang-undang,” beritahu jurucakap BMW kepada majalah perniagaan Jerman WirtschaftsWoche. Beliau mengulang komen tersebut kepada AFP, menekankan ia akan menjadi satu “prosedur rutin.”

BMW berkata ia belum dihubungi oleh Google sebelum pengumuman mengejutkan mengenai syarikat induk baru itu.

BMW serta Audi dan Daimler mengumumkan pada Isnin mereka telah bergabung untuk membeli perkhidmatan pemetaan digital HERE, pesaing Google Maps, dengan harga 2.8 bilion euro daripada Nokia. – AFP