BMW mungkin naikkan harga jika ringgit susut

BMW mungkin naikkan harga jika ringgit susut

CYBERJAYA, 10 Sept – BMW Group Malaysia berkemungkinan menaikkan harga jualan keretanya tahun depan jika ringgit terus lemah berbanding euro.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Harris berkata sebagai pengimport, mereka lazimnya akan berdepan tekanan kewangan apabila nilai mata wang susut.

“Jika keadaan (penurunan ringgit) berterusan, saya tidak menolak kemungkinan harga akan dinaikkan menjelang awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran model BMW X6 yang dipasang di Malaysia, bersempena pembukaan ibu pejabat baharu BMW Group Malaysia di sini, kelmarin.

BMW X6 xDrive35i M Sport adalah varian kesembilan yang dipasang di Malaysia.

Alan Harris (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BMW Malaysia, Sashi Ambi memperkenalkan BMW X6 xDrive35i M Sport pada majlis pelancaran BMW X6 pemasangan tempatan di Cyberjaya, kelmarin. – Bernama
Alan Harris (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BMW Malaysia, Sashi Ambi memperkenalkan BMW X6 xDrive35i M Sport pada majlis pelancaran BMW X6 pemasangan tempatan di Cyberjaya, kelmarin. – Bernama

Harris turut mengakui syarikat itu berdepan banyak tekanan sejak beberapa minggu lepas apabila ringgit menghampiri paras RM4.90 berbanding euro.

“Kami tidak membincangkan soal mata wang itu apabila ringgit pada RM3.80-RM3.90 berbanding euro pada tahun lepas. Namun kini ia mencecah paras RM4.90 dan ini satu angka yang besar dan memberi tekanan,” katanya.

Mengulas pelancaran model BMX X6 berkenaan, beliau menyifatkan kereta yang dipasang di Malaysia itu sebagai bukti pelaburan dan komitmen jangka panjang syarikat berkenaan terhadap negara ini.

“Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara.

“Selain langkah pemasangan BMW X6 baharu di sini, kami turut meraikan majlis pecah tanah Pusat Pengedaran Alat Ganti di Johor,” katanya. Setakat Ogos lepas, BMW Group Malaysia telah menjual sebanyak 4,475 unit BMW, 481 unit kereta MINI dan 654 unit motosikal Motorrad BMW, katanya.

Kereta BMW X6 xDrive35i M Sport yang dijual pada harga 666,888 seunit di atas jalan termasuk insurans, turut ditawarkan dalam warna Alpine White, Flamenco Red, Carbon Black dan Space Grey dengan pilihan warna hiasan dalaman termasuk Coral Red dan Cognac. – Bernama