BMW yakin atasi jualan tahun lalu

BMW yakin atasi jualan tahun lalu

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) – BMW Malaysia Sdn Bhd yakin dapat melepasi jualan tahun lepas iaitu 9,046 unit berikutan permintaan kukuh untuk tujuh modelnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Alan Harris berkata, tahun ini syarikat itu telah menjual 6,522 kenderaan.

“Jualan menurun sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan pada April lepas.

“Bagaimanapun ia akan meningkat pada musim perayaan dan menjelang akhir tahun,” katanya ketika melancarkan kenderaan sukan kompak (SAV) generasi kedua premium baharu, BMW sDrive 20i, di sini Jumaat.

Alan Haris (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BMW Malaysia Sashi Ambi memperkenalkan BMW X6 xDrive35i M Sport pada majlis pelancaran BMW X6 pemasangan tempatan di Cyberjaya hari ini. – Bernama
Alan Haris (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BMW Malaysia Sashi Ambi memperkenalkan BMW X6 xDrive35i M Sport pada majlis pelancaran BMW X6 pemasangan tempatan di Cyberjaya hari ini. – Bernama

Syarikat itu menjual 7,808 unit model BMW, 655 unit Mini Cooper dan 583 motosikal tahun lepas.

Harris berkata, syarikat itu telah menyerap kos operasi dan pengeluaran berikutan penyusutan ringgit dan tidak mempunyai rancangan menaikkan harga kenderaannya.

“Kami memantau dengan rapi pergerakan ringgit dan jika ia mencecah paras RM5-RM6 berbanding euro, kami akan membuat keputusan.

“Kilang kami di Kulim mengeluarkan 8,000 unit setahun. Kami akan mengkaji usaha mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran Malaysia pada masa depan,” tambah beliau.