Boateng digesa kembali berikan tumpuan

Boateng digesa kembali berikan tumpuan

BERLIN, 25 Nov – Jerome Boateng digesa kembali memberikan tumpuan dan melupakan krisis yang menimpanya ketika kekalahan Bayern Munich kepada Rostov dalam kempen Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

“Jerome perlu lebih tenang dan menangani masalah prestasinya dengan cara yang lebih mudah,” kata pengarah kelab itu Karl-Heinz Rummenigge kepada akhbar harian Bild.

“Sejak musim panas lalu, dia tampak bergelut dan perlu segera memperbaikinya. Saya yakin jika dia kembali sedikit berpijak pada bumi yang nyata, mungkin segala-galanya akan kembali normal untuk kami.”

Sama seperti barisan pertahanan Bayern yang lain, Boateng mengharungi hari yang perlu dilupakan di Rostov.

Aksi pada perlawanan Bayern Munich menentang Rostov baru-baru ini. – AFP
Aksi pada perlawanan Bayern Munich menentang Rostov baru-baru ini. – AFP

Pertahanan kental Jerman itu mudah diatasi sehingga tersandung jatuh ketika Sardar Azmoun menjaringkan gol penyamaan untuk memadamkan gol awal pemain sayap Bayern, Douglas Costa.

Pemain berusia 28 tahun itu kemudiannya melepaskan penalti yang disudahkan Dmitry Poloz untuk meletakkan pasukan dari Russia itu di depan sebelum Christian Noboa memastikan kemenangan bergaya 3-1. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA