Boateng merungut

Boateng merungut

PARIS, 17 Jun (AFP) – Musuh tradisi Jerman dan Poland hampir mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Euro 2016 selepas terikat tanpa jaringan dalam pertemuan kedua Kumpulan C Euro 2016, awal pagi tadi.

Keputusan itu mengekalkan Jerman di persada Kumpulan C, hasil kelebihan gol dengan kedua-dua pasukan terikat empat mata daripada dua perlawanan.

Poland lebih mengancam apabila dihidangkan peluang terbaik menerusi penyerang, Arkadiusz Milik yang menyaksikan rembatannya tersasar selepas tidak dikawal dan dibiarkan keseorangan pada awal babak kedua.

Pertahanan kental Jerman, Jerome Boateng merungut betapa pasukannya terlalu kaku, namun bersetuju bahawa ia keputusan yang adil daripada aksi yang penuh sengit itu.

“Kami masih boleh berpuas hati dengan keputusan 0-0 ini,” kata Boateng, yang bagaimanapun tetap mengkritik barisan jentera serangan yang tampak kurang bernafsu.

Boateng melompat untuk menanduk bola semasa menentang Poland dalam aksi Euro Kumpulan C di Stade de France kelmarin. – AP
Boateng melompat untuk menanduk bola semasa menentang Poland dalam aksi Euro Kumpulan C di Stade de France kelmarin. – AP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Kami kurang memasuki kawasan lawan, kami tidak cukup berbahaya dan kami perlu meningkatkannya atau kami tidak akan pergi lebih jauh,” katanya kepada ZDF.

“Sekarang, kami harus mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan supaya kami mara sebagai juara kumpulan.”

Lawan yang menanti mereka adalah Ireland Utara, yang menewaskan Ukraine 2-0 dalam satu lagi pertemuan sebelum itu untuk menyaksikan skuad kendalian Michael O’Neill hanya satu mata di belakang peneraju menjelang perhitungan di Paris, Selasa ini.

Poland melayan Ukraine di Marseille dalam aksi terakhir kumpulan tatkala keputusan seri sudah memadai untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

ARTIKEL YANG SAMA