Boca belum mantap

Boca belum mantap

BUENOS AIRES, 4 Ogos (Reuters) – Carlos Tevez menyumbat gol pertamanya buat Boca Juniors di La Bombonera dalam tempoh lebih sedekad, namun ia tidak mampu menghalang kelab itu daripada tumpas mengejut 3-4 kepada Union dalam kejuaraan Argentina, semalam.

Boca mendahului awal menerusi Jonathan Calleri, namun tuan rumah mula terjejas apabila penjaga gol Agustin Orion menjatuhkan penyerang Union, Lucas Gamba dengan terjahan keras dalam kotak penalti dan dibuang padang pada minit ke-27.

Victor Malcorra menyamakan kedudukan menerusi penalti itu dan pelawat dari Santa Fe mendahului lima minit kemudian menerusi pemain tengah Mauricio Martinez.

Tevez menyamakan kedudukan buat Boca seminit babak kedua berlangsung, namun pertahanan Union, Emanuel Britez kembali meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-65.

Walaupun Tevez (kanan) sudah menyertai skuad, Boca Juniors masih belum mantap. – Reuters
Walaupun Tevez (kanan) sudah menyertai skuad, Boca Juniors masih belum mantap. – Reuters

Calleri dilihat mampu meraih satu mata buat tuan rumah dua minit sebelum tamat selepas jurulatih Boca, Rodolfo Arruabarrena diarahkan ke bangku penonton kerana membantah keterlaluan.

Namun, Gamba menjaringkan gol menerusi tandukan pada masa kecederaan bagi membolehkan Union menang 4-3.

“Ia perlawanan yang mana kami menjaringkan gol pantas dan kemudian berpeluang mendapat gol kedua, namun kami melakukan kesilapan tidak sepatutnya,” kata Tevez.

“Pasti ada alasan dengan keputusan sebegini. Boca tidak bermain dengan bagus,” jelas Tevez yang kembali semula ke kelab pertamanya selepas sedekad beraksi di Brazil, England dan Itali.