BOCHK buka cawangan di Brunei

BOCHK buka cawangan di Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, mengumumkan bahawa kebenaran telah diberikan bagi Bank of China (Hong Kong) Limited (BOCHK) untuk menubuhkan sebuah cawangan perbankan di Negara Brunei Darussalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, AMBD menjelaskan bahawa BOCHK adalah sebuah bank yang diperbadankan di Hong Kong dan dimiliki oleh Kumpulan Bank of China (BOC). Kumpulan BOC telah tersenarai sebagai bank keempat terbesar secara global dari segi Tier 1 Capital dan bank ketujuh terbesar dari segi aset menurut The Banker bagi 2015.

AMBD berpendapat bahawa penubuhan operasi perbankan BOCHK di negara ini akan memberikan kesan positif kepada ekonomi tempatan yang juga selaras dengan pelan strategik AMBD, khususnya dalam mengalu-alukan institusi-institusi kewangan terkemuka untuk beroperasi di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, penubuhan operasi perbankan berkenaan juga akan dapat membantu merangsang persaingan yang kompetitif di antara bank-bank sedia ada dalam industri perbankan di negara ini.

Sementara itu, BOCHK dalam satu kenyataan berkata yang mereka telah diberikan kebenaran untuk menubuhkan cawangan di Brunei Darussalam di mana sebagai sebuah kumpulan perbankan komersial yang diperbadankan di Hong Kong, BOCHK secara proaktif sedang berkembang ke dalam pasaran Asia Tenggara dalam usaha transformasinya kepada sebuah bank serantau.

Menurut BOCHK, Negara Brunei Darussalam merupakan salah sebuah negara yang penting di laluan Belt and Road serta merupakan sebuah negara yang mempunyai politik stabil dan mempunyai lokasi strategik dengan infrastruktur yang baik.

Penubuhan cawangan BOCHK di Brunei Darussalam bukan sahaja akan menyelaraskannya dengan inisiatif negara, Belt and Road, tetapi juga akan memudahkan Kumpulan BOC untuk mengembangkan liputan rangkaiannya kesemua 10 buah negara anggota ASEAN serta meningkatkan lagi keupayaan perkhidmatannya di rantau ini.

Naib Menteri Perdagangan, Republik Rakyat China, Gao Yan dalam kenyataannya semasa Mesyuarat Konsultasi Brunei Darussalam-China ke-4 bagi Perdagangan, Pelaburan dan Kerjasama Ekonomi (COMTIEC) yang berlangsung di Brunei pada 18 April menyatakan bahawa pengumuman oleh BOCHK sebagai institusi kewangan China pertama untuk menubuhkan cawangan di Brunei menandakan fasa baru bagi kerjasama kewangan dua hala di antara Brunei dan China.

“Kami amat menantikan pembukaan cawangan BOCHK di Brunei Darussalam untuk membantu mempromosikan kerjasama ekonomi dan perdagangan di antara kedua-dua buah negara.”

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif BOCHK, Lin Jingzhen berkata, BOCHK amat gembira telah mendapat kebenaran daripada badan-badan pengawal selia di Brunei Darussalam dan Hong Kong untuk menjadi bank pertama China menubuhkan cawangan di Brunei.

Beliau menyatakan bahawa pihak bank berkenaan sedang giat membuat persediaan bagi pembukaan cawangan berkenaan di mana ia akan memberi suntikan dinamik baru kepada pembangunan sektor kewangan Brunei.

BOCHK merupakan salah sebuah kumpulan bank komersial yang terunggul dan terkemuka di Hong Kong dari segi jumlah aset dan deposit pelanggan. BOCHK dan anak-anak syarikatnya menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan kewangan kepada pelanggan runcit, korporat dan pelanggan institusi.

Selain ia, ia juga adalah salah sebuah daripada tiga buah bank yang dibenarkan untuk mengedarkan mata wang dan menjadi Clearing Bank bagi perniagaan pertukaran mata wang Renminbi di Hong Kong.

BOCHK telah diberi penarafan kredit A, A+ dan Aa3 masing-masing oleh agensi piawaian kredit Fitch IBCA, Moody’s dan Standard & Poors. Berdasarkan laporan kewangan beraudit bagi tahun 2015, BOCHK memiliki aset yang berjumlah HKD2.4 trilion ($414 bilion) dan dana modal jumlah HKD198 billion ($35 bilion).

ARTIKEL YANG SAMA