Boeing 777 mendarat cemas di Jepun

Boeing 777 mendarat cemas di Jepun

TOKYO, 26 Ogos (AFP) – Sebuah pesawat Boeing 777 yang dikendalikan oleh All Nippon Airways (ANA) Jepun membuat pendaratan cemas di Osaka hari ini selepas pesawat tersebut mengalami masalah enjin, menurut syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun tiada seorang pun daripada 246 penumpang atau 11 anak kapal mengalami kecederaan, tambahnya.

Penerbangan dari Osaka menuju ke Tokyo itu berlepas pada 7.18 pagi namun anak kapal kemudian mendapati masalah enjin dan meminta untuk membuat pendaratan kecemasan.

“Ia berpatah balik dan mendarat kembali ke lapangan terbang Osaka pada 7.50 pagi,” kata jurucakap ANA Hanae Satomura.

Kesemua penumpang dan krew kapal selamat keluar dari pesawat itu selepas pendaratan kecemasan itu, tambahnya.

Selepas berlepas, juruterbang menghadapi masalah pengeluaran kuasa dari enjin sebelah kiri dan suhu tidak normal pada pelepasan enjin, kata Satomura.

Syarikat penerbangan tersebut sedang menyiasat punca insiden berkenaan, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA