Boeing akan ketengah inovasi produk

Boeing akan ketengah inovasi produk

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Boeing, syarikat aeroangkasa terbesar dunia akan mengetengahkan produk pertahanan dan komersial inovatifnya serta perkongsian serantau penting di Pameran Udara Singapura tahun ini yang bermula 16-21 Februari.

Semasa pameran aeroangkasa dan pertahanan terbesar Asia itu, Boeing dan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, Scoot, anak syarikat Singapore Airlines, juga akan mempamerkan Boeing 787-9, yang mempunyai ciri-ciri yang memuaskan hati pelanggan.

Ketika ini, Scoot mengendalikan sepuluh pesawat 787-8 dan 787-9 dan merancang membuka pasaran dan laluan baharu dengan tambahan sepuluh tempahan 787s.

Boeing dalam satu kenyataan berkata produk pertahanannya yang dijangka dipamerkan termasuklah pesawat pejuang Air Force F-15SG Republik Singapura dan helikopter AH-64 Apache dan CH-47 Chinook.

“Ini menandakan tahun yang sangat istimewa bagi Boeing ketika kami meraikan ulang tahun keseratus kami,” kata Presiden Asia Tenggara Boeing Skip Boyce.

Beliau berkata kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama yang dijalin selama ini dalam pasaran seperti Singapura dan negara-negara lain di Asia Tenggara, yang mana syarikat itu telah bertapak hampir 70 tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA