Boeing catat rekod pesawat komersial 2015

Boeing catat rekod pesawat komersial 2015

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) – Boeing menyerahkan 762 pesawat komersial pada 2015, 39 buah lebih daripada tahun sebelumnya, dan merupakan angka tertinggi yang pernah dilakukan oleh syarikat itu yang memasuki tahun ke-100 penubuhannya.

Dalam satu kenyataan hari Jumaat, Boeing berkata syarikat itu mencatatkan 768 tempahan bersih bernilai AS$112.4 bilion pada tahun lepas, dan pada akhir 2015, masih terdapat 5,795 tempahan dari seluruh dunia yang belum dipenuhi.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes Ray Conner berkata syarikat itu mendapat tempahan yang kukuh pada 2015, mengekalkan tunggakan yang seimbang, yang akan membantu memastikan aliran penghantaran yang lancar pada masa hadapan.

“Kami tidak mampu melaksanakan apa yang kami lakukan pada 2015 tanpa sokongan dan kerja keras pekerja, pembekal, rakan dan masyarakat,” kata Conner.

Naib Presiden Pemasaran Boeing Commercial Airplanes Randy Tinseth pula berkata permintaan dari seluruh dunia untuk perjalanan udara terus meningkat dengan pesat.

“Trafik penumpang global di kawasan utama semakin meningkat.

“Para pelanggan kami terus menunjukkan prestasi yang baik dalam pasaran dan kami akan terus menyokong mereka dengan produk dan perkhidmatan terbaik dalam industri,” kata Tinseth.

Dalam satu kenyataan berasingan, Boeing mengumumkan mengenai perjanjian dengan Air China bagi pembelian tambahan enam jet 777-300ER (Extended Range).

ARTIKEL YANG SAMA