Boeing dan Thai Airways tingkat kerjasama

Boeing dan Thai Airways tingkat kerjasama

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) – Boeing dan Thai Airways International Plc Co Ltd telah meraikan penghantaran pesawat 777-300ER (Tambahan Jarak) yang ke-25 ke dalam perkhidmatan syarikat penerbangan Thailand itu, dari pusat penghantaran Boeing di Everett, Washington.

“Ini merupakan penghantaran yang sangat istimewa untuk kami memandangkan ia adalah penghantaran pesawat 777 yang ke-25 daripada Boeing,” kata Presiden Thai Airways, Charamporn Jotikasthira.

“Fleksibiliti keluarga 777 telah memainkan peranan yang penting dalam kejayaan berterusan kami dan 777-300ER terbaharu ini akan memastikan kami terus mengembangkan pasaran penerbangan jarak jauh kami dengan cekap dan ekonomik, di samping menyediakan penumpang kami dengan pengalaman yang terbaik,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Thai Airways telah mengoperasikan hampir setiap model dari keluarga 777 sejak lebih daripada dua dekad yang lalu dan kini mengendalikan lima pesawat 787 Dreamliner.

Bahagian kargo syarikat penerbangan itu menjadi perkhidmatan yang pertama di Asia Tenggara yang menggunakan 777 Freighter dan pada bulan Januari, kedua-dua syarikat tersebut meraikan penghantaran pesawat yang ke-75 daripada Boeing.

ARTIKEL YANG SAMA