Boeing lancar inovasi abad kedua

Boeing lancar inovasi abad kedua

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Boeing Company meraikan ulang tahunnya ke-100 pada Jumaat, sebagai legasi dalam menghubungkan dan melindungi insan dan negara, menjelajahi bumi dan angkasa, serta menjadi inspirasi kepada yang bercita-cita dan berusaha, melalui produk dan perkhidmatannya.

Sejak mula melangkah sebagai pembuat pesawat ringan berasaskan kayu dan fabrik di limbungan Seattle, Boeing kini merupakan syarikat aeroangkasa terbesar dunia, dan pembuat jet komersial dan pertahanan, serta sistem angkasa dan keselamatan terkemuka.

“Semangat inovasi yang dimiliki pengasas kami, Bill Boeing, yang 100 tahun lepas pada hari ini mendedikasikan syarikat untuk membina sesuatu yang lebih baik, terus hidup dalam setiap generasi kami untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan penting dan mengubah kehidupan di seluruh dunia secara positif,” kata Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg, dalam satu kenyataan kelmarin.

“Boeing kini memulakan abad kedua kami dengan komitmen untuk mencapai kecemerlangan lebih kuat berbanding sebelum ini, manakala potensi kami bagi pencapaian pula adalah sebesar yang pernah dimiliki pengasas kami, malah matlamat kami mestilah lebih berani, berwawasan dan menginspirasikan”.

Warga kerja, pelanggan dan peminat Boeing di segenap du-nia bersama-sama untuk meraikan ulang tahun ke-100 syarikat dan membayangkan penemuan teknologi dan inovasi yang belum direalisasikan.

Antara acara Boeing dalam melangkah abad keduanya adalah:

Pembelajaran 100 hari: kempen pendidikan bermula hari ini tersebut bertujuan memberi inspirasi kepada generasi baharu mengenai wawasan aeroangkasa dengan menyediakan sumber pendidikan percuma yang dihasilkan bersama kumpulan jurutera Boeing dan penyedia kandungan pendidikan terkemuka kepada guru dan pelajar.

Pameran pesawat: Barisan pesawat terkemuka Boeing dan pameran statik pesawat bersejarah akan menjadi sebahagian daripada acara sambutan hujung minggu Hari Pengasas untuk pekerja di Puget Sound, berhampiran tempat kelahiran syarikat.

Acara kemuncak lain termasuk pertunjukan cahaya yang dipancarkan pada badan pesawat 747 dan pesta di Muzium Penerbangan.

‘Above and Beyond’: Pameran pendidikan angkasa dan penerbangan interaktif global dibuka hari ini di Nagoya, Jepun, menyertai London dan Seattle untuk penglibatan serentak; sejak dilancarkan pada Julai 2015, pameran itu telah menerima hampir tiga juta pengunjung.- Bernama

ARTIKEL YANG SAMA