Boeing lantik naib presiden komunikasi baharu

SAN FRANCISCO, 13 Feb – Peneraju aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), Syarikat Boeing, semalam mengumumkan bahawa mereka telah melantik Linda Mills, bekas eksekutif kanan Starbucks, sebagai naib presiden komunikasi Boeing Commercial Airplanes, menurut laporan agensi berita China Xinhua.

Boeing berkata Mills, yang memiliki pengalaman 20 tahun dalam bidang komunikasi strategik, menyertai Commercial Airplanes, satu unit perniagaan jet penumpang yang bernilai AS$58 bilion, selepas berkhidmat di Starbuck Seattle sebagai naib presiden komunikasi global gergasi kopi AS itu.

Mills akan mengetuai satu pasukan terdiri daripada kira-kira 90 profesional komunikasi dan pemasaran di Boeing; yang bertanggungjawab bagi hubungan media global, petugas dan eksekutif komunikasi, media sosial serta usaha-usaha lain pengiklanan dan komunikasi.

Gambar fail yang diambil pada 13 Dicember 2016 menunjukkan logo Boeing di luar bangunan Operasi Kerajaan Boeing di Arlington, Virginia. Syarikat Boeing mengumumkan mereka telah melantik Linda Mills, sebagai naib presiden komunikasi Boeing Commercial Airplanes. – AFP

Beliau menggantikan Sean McCormack yang meninggalkan Boeing selepas hampir sedekad bersama syarikat itu di Washington DC dan Seattle, bandar terbesar di negeri Washington di pantai barat AS.

Mills akan ditempatkan di Renton, Washington, yang merupakan ibu pejabat Boeing Commercial Airplanes.

Beliau akan melaporkan kepada Phil Musser, naib presiden kanan komunikasi Boeing di Chicago, dan Kevin McAllister, presiden merangkap CEO Boeing Commercial Airplanes. – Bernama