Boeing rai ulang tahun ke-100

Boeing rai ulang tahun ke-100

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Boeing meraikan ulang tahun ke-100 hari ini dengan kejayaan yang dicapai semasa Pameran Udara Antarabangsa Farnborough 2016 di England apabila menerima tempahan dan komitmen bernilai berbilion dolar AS termasuk platform pertahanan, pesawat komersial dan perjanjian perkhidmatan.

“Sebagai tempat kelahiran penerbangan Britain, tidak ada tempat yang terbaik untuk meraikan kejayaan industri aeroangkasa dan meraikan ulang tahun ke-100 kami selain Pameran Udara Farnborough Airshow,” kata Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg.

“Sepanjang pameran itu, kami mempamerkan dan membincangkan produk dan perkhidmatan inovatif dan kos efektif kami dan nilai terbaik yang disediakan kepada pelanggan komersial dan pertahanan kami.

“Kerajaan Britain mengumumkan tempahan penting bagi peralatan pertahanan Boeing. Pada masa yang sama kami komited untuk meningkatkan operasi Boeing di United Kingdom (UK) sejajar dengan agenda ‘kemakmuran’ kerajaan dan strategi pertumbuhan global kami bagi abad kedua kami.

“Bagi bahagian komersial perniagaan, kami gembira dengan keyakinan yang dipaparkan pelanggan kami dalam portfolio pesawat dan perkhidmatan kami dengan tempahan amat memberangsangkan dan pengumuman lain,” kata Muilenburg dalam satu kenyataan.

Orang ramai berbaris di landasan kapal terbang ketika mereka menyaksikan pesawat udara Airbus A380 mendarat selepas mengambil bahagian dalam pameran penerbangan semasa Pameran Udara Farnborough, barat daya London, pada 14 Julai. – AFP
Orang ramai berbaris di landasan kapal terbang ketika mereka menyaksikan pesawat udara Airbus A380 mendarat selepas mengambil bahagian dalam pameran penerbangan semasa Pameran Udara Farnborough, barat daya London, pada 14 Julai. – AFP

Pelanggan mengumumkan tempahan dan komitmen semasa minggu itu sebanyak 182 pesawat komersial Boeing bernilai AS$26.8 bilion, pada harga senarai.

Bagi 2016 Boeing menerima 321 tempahan bersih, seperti yang dikemaskinikan hari ini di laman web Boeing Orders & Deliveries.

Pelanggan juga mengumumkan perjanjian perkhidmatan komersial bernilai berbilion dolar As bagi hayat kontrak termasuk tempahan perkhidmatan komersial terbesar dalam sejarah Boeing.

Kementerian Pertahanan UK mengumumkan janji niaga bernilai AS$2.3 bilion untuk membeli 50 helikopter Apache AH-64E dan mengesahkan pembelian sembilan pesawat peronda maritim P-8A Poseidon bagi Tentera Udara Diraja.

Selain itu Boeing juga mendedahkan ‘Current Market Outlook’ baharunya pada pameran tersebut, mengunjurkan permintaan bagi 39,620 pesawat baharu bernilai AS$5.9 trilion, dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Antara pesawat yang dipamerkan Boeing di pameran tersebut termasuklah ANA 787-9 Dreamliner, 737 MAX, P-8A dan F/A-18F Super Hornet. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA