Boeing reka tandas penyucian sendiri

Boeing reka tandas penyucian sendiri

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) – Jurutera dan pereka bentuk Boeing berjaya membangunkan prototaip tandas penyucian sendiri yang menggunakan cahaya ultralembayung (UV) untuk membunuh 99.99 peratus kuman.

Sistem pembersihan itu boleh menyahjangkit semua permukaan selepas setiap penggunaan dalam tempoh tiga saat, kata Boeing dalam satu kenyataan hari ini.

Boeing yakin teknologi pembersihan diri ini yang digabungkan dengan ciri-ciri tanpa sentuh, akan meningkatkan pengalaman penumpang dalam penerbangan komersial.

Tandas itu menggunakan cahaya Far UV yang akan diaktifkan apabila tandas itu tidak digunakan. Far UV berbeza daripada cahaya UVA atau UVB dalam pembersihan katil, dan tidak berbahaya kepada pengguna.

Jurutera Boeing telah membuktikan, menerusi ujian ke atas prototaip berkenaan, bahawa inovasi ini boleh mengurangkan potensi pertumbuhan dan penyebaran mikro-organisma. Ia telah memfailkan paten konsep itu.

“Kami cuba mengurangkan rasa bimbang apabila menggunakan tandas dalam penerbangan.

“Menerusi prototaip itu, kami memasang lampu dalam tandas supaya semua permukaannya, seperti tempat duduk tandas, singki dan rak dilimpahi cahaya UV sebaik pengguna keluar dari tandas. Pembersihan ini juga membantu menghilangkan bau,” kata Jeanne Yu, Pengarah Pesawat Komersial bagi Prestasi Alam Sekitar, Boeing.

Sistem pembersihan itu yang memerlukan kajian lanjut sebelum ia boleh ditawarkan kepada syarikat penerbangan, akan mengangkat dan menutup tempat duduk tandas dengan sendirinya bagi memastikan semua permukaan terdedah semasa kitaran pembersihan.

Reka bentuk ini juga menggabungkan ciri-ciri bebas tangan ke atas perkakasan tandas seperti kepala paip, bekas sabun, tong sampah, penutup tempat duduk tandas dan pengering tangan.

Pintu tandas bebas tangan dan sistem bolong vakum untuk lantai juga sedang dalam kajian, dengan kesemuanya bermatlamat memastikan tandas sentiasa bersih sementara pembersihan berjadual dilakukan.

Beberapa ciri tanpa sentuh sudah pun digunakan dalam beberapa pesawat Boeing, dan dengan menggabungkan sistem pembersihan UV baharu, akan memberi perlindungan yang lebih baik daripada kuman dan untuk pengalaman terbang yang lebih menarik,” kata Yu.

Tandas Bersih Boeing merupakan ciptaan yang memasuki peringkat akhir Anugerah Cabin Crystal yang akan diumumkan pada Ekspo Hiasan Dalaman Pesawat Hamburg, pada 5 April.

ARTIKEL YANG SAMA