Boeing sambut usia 100 tahun dengan dokumentari ‘Age of Aerospace’

Boeing sambut usia 100 tahun dengan dokumentari ‘Age of Aerospace’

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) – Syarikat aeroangkasa terbesar di dunia, Boeing akan meraikan sambutan seratus tahun di Asia Tenggara dengan dokumentari lima siri berjudul ‘The Age of Aerospace’ yang akan disiarkan melalui Discovery Channel bermula pada 30 Mac 2016.

Siri yang ditaja oleh Boeing ini akan meneroka detik-detik terpenting dalam teknologi angkasa, ketenteraan serta awam sejak 100 tahun lepas bermula dari rekaan pesawat perintis seperti B17 Flying Fortress, 747 Jetliner sehingga kepada Sistem Pelancaran Angkasa yang akan membawa manusia ke Marikh dan seterusnya.

Di Malaysia, episod pertama dalam lima siri bahagian itu berjudul “What Can’t We do?” yang akan disiarkan pada pukul 7 malam, 30 Mac di saluran Astro 551 selama satu jam pada jadual yang sama dan pada setiap minggu sehingga akhir April, kata Boeing dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Siri dokumentari ini merakamkan evolusi industri aeroangkasa. Kami adalah penjaga warisan yang besar, yang bertanggungjawab bagi menyediakan asas untuk masa depan yang lebih baik,” kata Presiden Boeing Asia Tenggara, Skip Boyce.

“Kami berharap, siri ini akan memberi inspirasi kepada generasi berwawasan yang akan datang memandangkan kami akan memasuki abad kedua kami.”

Rancangan tersebut dihasilkan oleh Documentary Group, syarikat pengeluar rencana yang diiktiraf, siri tersebut akan membawa penonton meredah zaman permulaan penerbangan yang diabadikan dalam rakaman hitam putih sehingga kepada zaman visual definisi tinggi yang merakamkan penerbangan Dreamliner 787.

ARTIKEL YANG SAMA