Boeing, Tentera Laut AS tingkat keupayaan kesedaran situasi

Boeing, Tentera Laut AS tingkat keupayaan kesedaran situasi

SINGAPURA, 2 Dis (Bernama) – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan Boeing baru-baru ini telah menunjukkan teknologi penyasaran mutakhir yang akan meningkatkan keberkesanan dan keselamatan anak kapal melalui pengagihan dan integrasi maklumat sasaran merentasi sebilangan pesawat.

Boeing dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, berkata teknologi itu yang menggunakan pemproses sasaran termaju dan bersifat terbuka, mempunyai pautan data jalur lebar yang tinggi serta berasaskan tablet Windows yang bersepadu dengan sistem misi, berjaya membuktikan bahawa pesawat serangan elektronik seperti EA-18G Growler mampu mengesan sasaran lebih jauh dan berkongsi maklumat dengan lebih pantas.

Pengurus program F/A-18 dan EA-18G Tentera Laut AS, Kapten David Kindley berkata: “Keupayaan menyasar yang dipertingkatkan ini akan membolehkan kru pesawat mendapat kelebihan, terutama dalam persekitaran ancaman yang semakin padat di mana jarak sasaran yang lebih jauh adalah penting untuk pertempuran.”

Dalam satu latihan yang dibuat oleh tentera laut, sejarah penerbangan yang baharu telah tercipta selepas data dari beberapa buah pesawat Growler dan sebuah pesawat E-2 Hawkeye berjaya dikongsi, menggunakan pautan data jalur lebar yang tinggi sehingga lokasi sasaran dapat dikesan dengan lebih pantas dan tepat.

Penggunaan peranti tablet yang diintegrasikan dengan sistem misi pesawat juga mencatatkan rekod baharu bagi tentera laut.

Teknologi ini juga membolehkan kru pesawat mengakses data dengan lebih mudah serta berkomunikasi dengan pesawat lain.

Boeing akan menaik taraf pesawat Growler sedia ada, manakala teknologi tersebut akan dimasukkan sebagai tawaran standard kepada semua pesawat yang sedang dalam barisan pengeluaran.

Naib Presiden program Boeing F/A-18 dan EA-18G, Dan Gillian berkata persekitaran ancaman akan menjadi semakin kompleks dan berkembang.

“Keupayaan teknologi penyasaran adalah penting memandangkan kami akan memajukan keupayaan kemampuan serangan elektronik untuk konflik hari ini dan akan datang,” katanya.

Pesawat EA-18G Growler diasaskan daripada platform F/A-18F Super Hornet yang telah terbukti dalam kombat, Growler merupakan pesawat serangan udara elektronik yang paling canggih dan terkini di Amerika Syarikat, menyediakan perisikan elektronik, pengawasan dan data peninjauan kepada pesawat lain.

Growler telah digunakan sejak 2010 dalam operasi ketenteraan AS dan tentera bersekutu.

ARTIKEL YANG SAMA